Antara penerima golongan berpendapatan rendah (B40) yang menerima bantuan makanan asas Box of Hope daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor). Foto Facebook Air Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Air Selangor agih lebih 1,000 kotak makanan asas kepada B40

SHAH ALAM, 8 NOV: Sebanyak 1,084 kotak bantuan makanan asas dihulurkan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sepanjang tahun ini.

Air Selangor memaklumkan kotak bantuan yang dinamakan ‘Box of Hope’ itu mengandungi tepung, beras, susu dan minyak dihulurkan kepada mereka yang berada di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Bantuan yang dilaksana ini adalah di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sesama Mara yang bertujuan untuk membantu komuniti yang memerlukan,”katanya di Facebook.

Dalam pada itu, Air Selangor mengajak orang ramai yang berminat untuk turut sama membantu boleh menyerahkan sumbangan di lima lokasi Village Grocer iaitu di Tamarind Square Cyberjaya, MyTown Cheras, 1 Mont Kiara, I-City Mall Shah Alam dan Melawati Mall.

“Anda juga boleh membuat sumbangan melalui akaun bank CIMB Bank Berhad 80-0798511-8 dengan menyertakan nota catatan Bantuan Inisiatif ‘Box of Hope’.

“Menerusi platform akaun bank ini, orang ramai boleh terus membuat sumbangan tanpa perlu ke cawangan Village Grocer. Kami akan membeli barangan makanan asas dengan hasil sumbangan wang untuk didermakan kepada golongan B40 yang memerlukan,” katanya.

Pada 13 September, Air Selangor menghulurkan bantuan makanan asas dan menanggung kos baik pulih paip rumah kebajikan serta keluarga berpendapatan rendah (B40) di Lembah Klang.

Agensi berkata sumbangan ‘Box of Hope’ dan khidmat pembaikan paip kepada 262 individu dan keluarga B40 itu bersempena ulang tahun keduanya beroperasi sebagai pemegang lesen tunggal pembekalan air di negeri ini, Putrajaya dan Kuala Lumpur.


Pengarang :