Petugas Air Selangor menyerahkan bantuan makanan dan keperluan asas kepada sebuah keluarga India sempena Deepavali 2021. Foto Facebook AIR SELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Air Selangor hulur bantuan makanan kepada 200 keluarga India

SHAH ALAM, 1 NOV: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menghulurkan bantuan makanan asas kepada 200 keluarga masyarakat India sempena Deepavali di sekitar Jeram, Sungai Pelek dan Kapar.

Agensi itu berkata sumbangan ‘Box of Hope’ berkenaan diharap dapat membantu komuniti setempat dalam meringankan beban mereka.

“Air Selangor terus menggerakkan inisiatif Sesama Mara melalui penyerahan bantuan 200 unit ‘Box of Hope’ dalam bentuk barangan makanan dan keperluan asas melalui Yayasan Food Bank Malaysia sekitar Jeram, Sungai Pelek dan Kapar.

“Terima kasih kepada semua yang telah menghulurkan sumbangan ikhlas bagi menjayakan program ini,” katanya menerusi Facebook semalam.

Air Selangor berkata program itu akan diteruskan dari masa ke semasa dan individu yang ingin menyumbang boleh melakukannya menerusi akaun CIMB Bank Berhad 8007985118.

“Pastikan anda mencatatkan nota ‘Bantuan Inisiatif Box of Hope’ semasa membuat transaksi dan emel ke [email protected] ,” katanya.

Pada 13 September, Air Selangor menghulurkan bantuan makanan asas dan menanggung kos baik pulih paip rumah kebajikan serta keluarga berpendapatan rendah (B40) di Lembah Klang.

Agensi berkata sumbangan ‘Box of Hope’ dan khidmat pembaikan paip kepada 262 individu dan keluarga B40 itu bersempena ulang tahun keduanya beroperasi sebagai pemegang lesen tunggal pembekalan air di negeri ini, Putrajaya dan Kuala Lumpur.


Pengarang :