SELANGOR

Anggota polis pukul wanita dalam lif dipindah tugas

SEPANG, 20 NOV: Anggota polis yang tular dalam insiden memukul wanita di dalam lif sebuah bangunan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada Selasa lepas telah dipindahkan ke bahagian pentadbiran sementara proses siasatan dijalankan, kata Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.

Beliau berkata anggota berumur 35 tahun itu adalah detektif koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan dipindahkan kepada tugas pentadbiran susulan kes tersebut.

“Selain siasatan dari segi perlakuan jenayah, siasatan dari segi tatatertib turut dijalankan terhadap anggota terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Sepang, di sini semalam.

Tular di media sosial baru-baru ini satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi seminit mengenai kejadian pukul di dalam lif melibatkan seorang penjawat awam yang bertindak memukul seorang wanita kerana kegagalan wanita terbabit mencarikan jodoh setelah dibayar sebanyak RM2,500.

Dilaporkan bahawa mangsa yang dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Cheras itu mengalami pendarahan di kepala.

– BERNAMA


Pengarang :