AGENDANASIONAL

Anwar dijadual lancar pelan tindakan maju bersama HARAPAN Rabu ini

MELAKA, 8 NOV: Pakatan Harapan (HARAPAN) akan melancarkan Pelan Tindakan Maju bersama Harapan Rabu ini (10 Nov), sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Pengerusi HARAPAN Melaka Adly Zahari.

Beliau berkata pelancaran itu akan disempurnakan Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan HARAPAN yang lain.

“Nanti kita akan maklumkan (berkenaan pelancaran pelan itu) kerana kita tahu dengan tatacara operasi piawai (SOP) sedia ada, cuma kita maklumkan lebih awal pelancaran pada Rabu, jam 5 petang,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata HARAPAN akan memulakan kempen pilihan raya kali ini dengan menumpukan kepada pengenalan calon-calonnya yang bertanding di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), melibatkan 18 calon berusia 50 tahun ke bawah dan 10 calon berumur kurang 40 tahun, termasuk calon paling muda berumur 21 tahun.

Selain itu, beliau berkata fokus HARAPAN adalah untuk memberikan keyakinan kepada rakyat berdasarkan rekod prestasi sebelum ini.

Sementara itu, Adly berkata pengenalan SOP bagi pilihan raya ini adalah cabaran terbesar yang dihadapi HARAPAN, memandangkan aktiviti berkempen secara ziarah rumah ke rumah dan perhimpunan tidak dibenarkan.

“Saya berharap media boleh memainkan peranan penting terutama media-media arus perdana untuk memberikan ruang lebih banyak kepada calon-calon ini, untuk mereka menyampaikan mesej masing-masing.

“Bagaimanapun kita akan memanfaatkan semua ruang-ruang SOP yang ada terutama dalam media baharu, mengedarkan risalah-risalah mengikut SOP yang ditentukan. Begitu juga penerangan secara ‘mobile’ ini juga akan kita manfaatkan,” katanya.

SPR menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

– BERNAMA


Pengarang :