Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mengemukakan soalan ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada 6 Oktober 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar: Pastikan syarikat balak selenggara jalan raya diguna

SHAH ALAM, 11 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan harus memastikan syarikat balak yang mengaut keuntungan sehingga berbilion ringgit menyelenggara jalan raya dirosakkannya.

Ketua pembangkang itu menegur jawapan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Hasbi Habibollah pada sidang Dewan Rakyat hari ini yang seolah-olah melepaskan pihak terbabit daripada tanggungjawab berkenaan.

“Saya terpanggil mengulas jawapan timbalan menteri mengenai lori dan jalan balak sebentar tadi, sepatutnya jawapannya adalah kerajaan harus memastikan syarikat balak yang mengaut keuntungan berbilion ringgit diberi tanggungjawab jaga jalan itu.

“Bukan kata sudah lepas (selesai pembalakan) dan bukan tanggungjawabnya lagi…ada juga jalan yang bukan laluan balak dirosakkannya seperti berlaku di Sabah dan Sarawak,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu ketika bertanya soalan tambahan kepada Hasbi pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Hasbi menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau berhubung program pembinaan dan penyelenggaraan jalan luar bandar.

Anwar juga meminta Kementerian Pembangunan Luar Bandar supaya tidak lepas tangan dalam isu penyelenggaraan jalan menggunakan Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) kepada negeri.

“Ini kerana seperti disebut (Ahli Parlimen) Johor Bahru (Akmal Nasrullah Mohd Nasir) jalan diselenggara menggunakan dana MARRIS dilaksana syarikat tidak bertanggungjawab dan menyebabkan ketirisan.

“Dana RM1 bilion tidak sampai ke bawah dan sebab itu kementerian perlu bersama pantau keadaan ini, bukan kata ini di bawah tanggungjawab negeri,” katanya.


Pengarang :