Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menjawab soalan pada Wacana Pemicuan Undi 18 Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 13 November 2021. Turut sama EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman (kiri) dan Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL) merangkap Pengerusi Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE) Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Anwar pertikai Sulaiman tolak debat calon ketua menteri

SHAH ALAM, 13 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikai keengganan calon Ketua Menteri Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Sulaiman Mohd Ali yang menolak untuk berdebat bersama pihak lawan.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata penolakan dibuat Sulaiman itu kurang difahami dan menggambarkan beliau tidak bersedia menghadapi perbahasan dengan calon ketua menteri dari parti lain dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

“Kita hendak tonjol sebagai ketua harus bersedia sampaikan kepada rakyat dan menjawab apa-apa soalan dibangkitkan.

“Selain itu berhubung isytihar antirasuah oleh parti, persoalannya bukan sekadar isytihar tetapi pemimpin kanan parti juga harus bersedia disiasat terhadap semua penyalahgunaan kuasa yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang media pada program TownHall Undi 18 Wacana Pemicuan Undi 18 Selangor yang turut dihadiri EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Kelmarin Anwar mencadangkan satu debat terbuka antara calon ketua menteri daripada HARAPAN, BN dan Perikatan Nasional (PN), namun Sulaiman menolaknya dengan mengatakan mahu memberi tumpuan kerja-kerja kempen.

Pada 10 November lalu, HARAPAN mencalonkan Adly Zahari sebagai ketua menteri Melaka jika parti itu mendapat mandat rakyat dalam PRN.

Pemilihan calon Amanah itu dipersetujui sebulat suara semua rakan gabungan HARAPAN berdasarkan prestasi Adly memerintah Melaka selama 22 bulan sebelum ini.


Pengarang :