Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membahaskan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat pada 1 November 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Anwar pertikai unjuran enam peratus pertumbuhan ekonomi negara

SHAH ALAM, 1 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikai unjuran enam peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang dibentang dalam Bajet 2022 Jumaat lalu.

Ketua pembangkang berkata unjuran itu kurang realistik jika dibandingkan dengan angka pertumbuhan pendapatan negara maju dan membangun seperti Amerika Syarikat serta Singapura.

Beliau berkata Amerika Syarikat mengunjurkan sekitar lima peratus, Korea Selatan 3.3 peratus, China 5.6 peratus, Singapura 3.2 peratus, Indonesia 5.9 dan Thailand 4.5 peratus.

“Unjuran enam peratus Malaysia paling tinggi di dunia. Kalau berhasil, alhamdulillah tetapi unjuran itu haruslah realistik,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2022 di Parlimen hari ini.

Sementara itu, Anwar menyifatkan jangkaan hasil kerajaan berjumlah RM234 bilion munasabah tetapi beberapa perkara akan dipertikai berdasarkan dampak Covid-19.

“Pada 2019, hasil kerajaan sebanyak RM264 bilion termasuk dividen khas Petronas RM30 bilion dan program khas pengakuan sukarela RM6 bilion.

“Kalau tolak unjuran tahun depan ia lebih tinggi daripada 2019, kemunasabahan boleh dipertikai kerana ekonomi baharu hendak melonjak, tidak mungkin sampai ke tahap 2019 dalam tempoh singkat,” katanya.

Jumaat lalu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memaklumkan defisit fiskal 2022 diunjur berkurang kepada enam peratus daripada KDNK berbanding 6.5 peratus pada 2021.

 


Pengarang :