Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Selangor menghalau cubaan menyeludup masuk 40 pendatang asing tanpa izin ke perairan Selangor. Foto Bernama.com
AGENSISELANGOR

APMM Selangor tumpaskan sindiket ‘Ibu Ani’, seludup pendatang tanpa izin

PELABUHAN KLANG, 8 NOV: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menumpaskan satu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin dikenali sebagai ‘Ibu Ani’, yang dipercayai telah beroperasi di sekitar Lembah Klang sejak tiga tahun lalu.

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata sindiket Ibu Ani, bertanggungjawab menguruskan tempat penginapan, makan dan minum serta kenderaan, bagi pergerakan pendatang asing tanpa izin keluar dan masuk Malaysia melalui jalan tidak sah.

“Sindiket tersebut tumpas susulan maklumat yang diperoleh dari 25 orang pendatang asing tanpa izin, enam orang ejen laut dan darat, yang ditahan di bersama bot penyeludup oleh APMM bersama agensi penguatkuasa lain dalam Op Benteng, di perairan Pulau Angsa dan persisiran Pantai Sungai Janggut, Jumaat lepas.

“Rentetan daripada penahanan tersebut, beberapa serbuan dibuat di beberapa lokasi dan premis di Flat Kuchai Lama, Kuala Lumpur yang membawa kepada penahanan seorang wanita yang dikenali Ibu Ani, 56, berasal dari Indonesia,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohammad Rosli berkata turut dirampas semasa serbuan adalah sebuah bot, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), dua van dan beberapa telefon bimbit yang kesemuanya dianggarkan bernilai hampir RM450,000.

“Kesemua suspek yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan juga Akta Imigresen 1969/63,” katanya.

Mohammad Rosli berkata pihaknya akan terus mempergiatkan operasi dengan memberi tumpuan terhadap tekong atau ejen-ejen terlibat dan dipercayai dalang sebenar, iaitu seorang warga asing masih belum ditangkap.

Beliau berkata sindiket-sindiket pendatang asing tanpa izin kini bersaing sesama sendiri dan menawarkan ‘pakej lengkap’ bernilai antara RM1,500 hingga RM2,000, serta testimoni keberkesanan aktiviti mereka turut diedarkan di WhatsApp.

Mohammad Rosli turut mengingatkan pemilik kenderaan sewa tempatan agar berwaspada kepada siapa mereka sewakan, dan jika didapati pendatang asing tanpa izin bersubahat, maka kenderaan tersebut akan disita dan pemiliknya dikenakan tindakan.

– BERNAMA


Pengarang :