Selangorkini
Latihan Pasukan Tinju Sukma Selangor di Pusat Latihan Tinju MSD Petaling pada 30 September 2021. Foto Facebook Majlis Sukan Negeri Selangor
AGENDA SUKANKINI

Atlet Sukma Selangor bakal sertai 13 kejohanan sebelum akhir tahun

SHAH ALAM, 17 NOV: Atlet Sukan Malaysia (Sukma) Selangor bakal menyertai beberapa siri kejohanan sebelum tirai kalendar sukan tahun ini dilabuhkan.

Dihoskan persatuan sukan kebangsaan dan negeri, pertandingan dijadual berlangsung antara 19 November hingga 30 Disember membabitkan 13 acara sukan, kata pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor.

Menurut Mohamad Nizam Marjugi kejohanan itu pentas terbaik bagi menilai prestasi semasa atlet selepas lebih setahun tidak beraksi susulan pandemik Covid-19.

“Sebelum akhir tahun, memang banyak kejohanan akan disertai atlet Sukma memandangkan program latihan mereka berjalan seperti biasa mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau memaklumkan atlet skuasy dan ragbi masing-masing selesai menyertai Kejohanan Antarabangsa Yayasan CIMB 2021 kali ke-16, Bukit Jalil serta Kejohanan Ragbi Royal 7S Piala Tengku Muhammad Ismail di Gong Badak pada 14 November lalu.

Mohamad Nizam menjelaskan hasil penilaian mendapati atlet sukan terbabit perlu bekerja lebih keras bagi meraih pencapaian terbaik pada kejohanan akan datang.

Berikut senarai kejohanan bakal disertai atlet:

1. Bola keranjang – Kejohanan Piala Menteri Besar Negeri Sembilan

2. Lumba basikal – Jelajah Berbasikal Negeri Sembilan

3. Renang – Short Course Invitational Inter-Club Swimming Meet

4. Jetski – Kejohanan Selangor Closed Aqua Race

5. Tinju – Kejohanan Tinju Piala Malaysia

6. Menembak – Kejohanan Menembak dan Malaysia Junior Shooting

7. Tenpin boling – Kejohanan Boling Storm Junior All-Stars ke-21

8. Boling padang – Kejohanan Terbuka 4 Berpasukan

9. Pencak silat – Kejuaraan Silat Olahraga Jemputan Kebangsaan ke-3

10. Petanque – Kejohanan Terbuka Petanque Port Dickson

11. Perahu layar – Cabaran Monsun Terengganu TMC

12. Memanah – Kejohanan Memanah Terbuka Selangor

13. Badminton – Kejohanan Sirkit Remaja 100Plus Junior Tour


Pengarang :