Dua kampung di Ampang antara kawasan dilanda banjir kilat susulan hujan lebat pada 22 November 2021. Foto BOMBA SELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Banjir Ampang: MPAJ, agensi diminta serah laporan dalam dewan negeri

SUBANG, 26 NOV: Kerajaan Negeri meminta beberapa agensi termasuk Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menghantar laporan penuh kejadian banjir kilat di Ampang minggu hadapan.

Dato’ Menteri Besar berkata laporan itu perlu diserahkan dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS).

“Kita kena dapatkan laporan penuh untuk mengetahui apakah punca daripada kerja-kerja pembinaan berhampiran atau sebaliknya. Namun semua pihak perlu bertanggungjawab untuk memastikan atau mengelak kejadian berulang.

“Bagaimanapun, keutamaan adalah selesaikan hal kebajikan melibatkan 260 rumah yang terjejas melibatkan 600 individu kemudian baru kita lihat apa kesannya walaupun ada penafian,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Tambah Amirudin, insiden banjir yang berlaku di kawasan itu bukanlah lokaliti titik panas dan Kerajaan Negeri pasti sedar kerana sistem perparitan yang tidak baik serta kini sedang diproses.

“Kita memang pastikan dan harap kemajuan pesat dapat ditangani dengan cara berhemah supaya tiada kejadian banjir atau tanah runtuh disebabkan kecuaian terutama projek pembinaan serta pembangunan berhampiran sungai.

“Ini bukan sahaja memberi kesan kepada limpahan air tetapi kepada bekalan air kerana ada keladak yang memberi kesan kepada penutupan Loji Rawatan Air Ampang Intake,” katanya.

Baru-baru ini, beberapa kawasan sekitar daerah Ampang, Hulu Langat dan Gombak mengalami banjir kilat selepas hujan lebat hampir tiga jam di Lembah Klang.

Di Ampang antara kawasan terlibat Taman Hillview, Kampung Lembah Jaya Utara dan Lembah Jaya Selatan.

Susulan kejadian, Kerajaan Selangor menggerakkan beberapa agensi antaranya pihak berkuasa tempatan (PBT), KDEB Waste Management bersama pusat khidmat dan penyelaras DUN memberi bantuan kecemasan serta membantu proses perpindahan.


Pengarang :