SHAH ALAM, 22 NOV: Beberapa kawasan di sekitar Ampang, di sini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat selama lebih satu jam lewat petang tadi.
Kawasan terjejas meliputi Jalan Hillview, Kampung Lembah Jaya Utara dan Kampung Lembah Jaya Selatan, maklum Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.
Norazam Khamis berkata seramai 22 pegawai serta anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan dan BBP Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 7.19 malam.
“Sebaik tiba di lokasi jam 7.30 malam, kami dapati berlaku banjir kilat dengan kedalaman air paras pinggang.
“Seramai tiga mangsa berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke tempat selamat,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau memaklumkan keadaan air dilaporkan semakin surut namun kerja menyelamat masih diteruskan.