Dua kampung di Ampang antara kawasan dilanda banjir kilat susulan hujan lebat pada 22 November 2021. Foto BOMBA SELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Banjir kilat: Pengendali lebuh raya langgar peraturan boleh dikena tindakan

SHAH ALAM, 24 NOV: Tindakan akan dikenakan kepada pengendali lebuh raya di negeri ini yang melanggar peraturan termasuk kegagalan mengurus hakisan dan lumpur.

EXCO infrastruktur berkata tindakan wajar itu bagi mengelak sebarang kelemahan dilakukan mereka sehingga menyebabkan kejadian seperti banjir contohnya.

Berkata kepada Kosmo, Ir Izham Hashim berkata pihaknya percaya pembinaan lebuh raya banyak menyumbang kepada pencemaran dan kekeruhan Sungai Ampang selain dipengaruhi projek pembinaan di kawasan sekitar.

“Sebab utama (banjir) ialah hujan yang melebihi 100 milimeter (mm) dalam masa yang panjang sehingga lebih tiga jam sehingga sistem saliran tidak dapat menampung air sebanyak ini,” katanya.

Beliau menegaskan, siasatan lanjut masih dijalankan pihak berkuasa berhubung kejadian banjir lumpur di kawasan Ampang khususnya di Kampung Lembah Jaya Utara dan Kampung Lembah Jaya Selatan.

Isnin lalu, beberapa kawasan di sekitar Ampang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat selama lebih satu jam lewat petang tadi.

Kawasan terjejas meliputi Jalan Hillview, Kampung Lembah Jaya Utara dan Kampung Lembah Jaya Selatan, maklum pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Norazam Khamis berkata seramai 22 pegawai serta anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan dan BBP Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 7.19 malam.


Pengarang :