AGENDA NASIONAL

Bank Negara serbu i-Serve Online Mall, sita wang tunai RM118 juta

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Satu tindakan penguatkuasaan bersama telah diambil terhadap i-Serve Online Mall Sdn. Bhd dan syarikat sekutunya yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Dalam kenyataan hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata sebanyak 22 premis berkaitan dengan i-Serve Online Mall dan syarikat sekutunya di Kuala Lumpur dan Selangor telah diserbu pada 11 Nov, 2021 manakala dokumen terbabit turut dirampas bagi membantu siasatan bersama.

“Serbuan itu juga menyebabkan 45 akaun dalam tujuh bank dibekukan serta wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM118.7 juta turut dirampas,” katanya.

Menurut BNM, tindakan penguatkuasaan bersama itu adalah sebahagian daripada kerjasama membabitkan pelbagai agensi bagi membanteras jenayah kewangan di Malaysia.

Tindakan itu telah diselaraskan oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan BNM sebagai agensi peneraju selain Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan CyberSecurity Malaysia.

“Orang ramai diingatkan bahawa di bawah seksyen 137(1) FSA, mana-mana individu yang menerima deposit tanpa lesen dianggap telah melakukan kesalahan. Siasatan terhadap kesalahan pengubahan wang haram juga akan dibuat mengikut peruntukan di bawah AMLA.

“Jika sabit kesalahan, individu tersebut boleh dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram semasa kesalahan tersebut dilakukan atau denda RM5 juta, mana-mana (jumlah) lebih tinggi dan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun,” kata BNM.

Menurut bank pusat itu, sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai dinasihatkan supaya hanya menyimpan wang dan/atau melabur dengan pihak berlesen atau berdaftar dengan pihak berkuasa berkaitan.

“BNM dan SC menggesa orang ramai supaya berhati-hati apabila melabur dengan syarikat-syarikat dalam atau luar negara yang menawarkan pelbagai peluang pelaburan di samping menjanjikan pulangan lumayan,” katanya.

BNM berkata, orang ramai yang mengetahui atau ditawarkan peluang pelaburan sedemikian melalui promosi di platform media sosial, e-mel atau telefon, boleh melaporkan perkara berkenaan kepada BNM menerusi [email protected] atau SC pada [email protected]

-BERNAMA


Pengarang :