Selangorkini
Sukarelawan Selangor (SERVE) membantu membersihkan kediaman mangsa terjejas banjir di Kampung Lembah Jaya Utara, Bukit Belacan, Ampang pada 25 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Bantu bersih lumpur, 300 sukarelawan SERVE gigih permudah urusan mangsa banjir

AMPANG, 25 NOV: Seramai 300 Sukarelawan Selangor (SERVE) digerakkan bagi membantu membersihkan kawasan dilanda banjir kilat sejak kelmarin.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata  sukarelawan dari setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dikerah supaya mangsa dapat kembali ke rumah masing-masing dengan kadar segera.

“Sukarelawan ini telah dikerah untuk membantu mencuci kediaman penduduk kerana difahamkan masih ada rumah yang dipenuhi lumpur akibat banjir baru-baru ini.

EXCO Generasi Muda, Mohd Khairuddin Othman

“Matlamat kita supaya keluarga terkandas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dapat pulang ke rumah dalam masa terdekat selain memberi keselesaan kepada mereka,” katanya selepas melawat mangsa banjir di PPS Dewan MPAJ Pinggiran 3 di sini hari ini.

Dalam lawatan itu, Mohd Khairuddin turut menyampaikan sumbangan toto kepada 300 keluarga terjejas dalam insiden banjir kilat Isnin lalu.

Selain Ampang, daerah Gombak dan Hulu Langat turut dilanda banjir kilat selepas hujan lebat lebih tiga jam di Lembah Klang.

Susulan itu, Dato’ Menteri Besar mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT), KDEB Waste Management (KDEBWM) bersama PKM dan penyelaras DUN memberi bantuan kecemasan serta perpindahan.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga menggerakkan Team Selangor dan SERVE membantu mangsa membersihkan rumah serta persekitaran.


Pengarang :