Selangorkini
EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim (tengah) bersama penerima bantuan nelayan bawah Pakej Kita Selangor 2.0 di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Selangor pada 25 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Bantuan alat canggih bantu tingkat tangkapan nelayan tradisi

KUALA SELANGOR, 26 NOV: Inisiatif Kerajaan Negeri menyediakan peralatan canggih seperti alat pengesan lokasi ikan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 diharap dapat membantu meningkatkan pendapatan nelayan tradisi.

Nelayan dari Kampung Tok Adam, Kuala Selangor, Kamaruddin Sarap, 44, berkata selama ini kebanyakan mereka menangkap ikan dan sumber laut lain mengikut kaedah lama yang tidak memberi hasil serta pulangan tinggi.

“Dulu orang kampung kata kalau hendak turun ke laut kena tengok ‘pedoman’ dulu macam tanda pokok bergerak, tetapi kami agak ragu-ragu juga dan hasilnya kadang-kala berbeza.

Kamaruddin Sarap. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Tetapi difahamkan menggunakan alat pengesan lokasi ikan ini, pergerakan ikan di dasar laut pun boleh dikesan dan kami boleh terus ke kawasan banyak ikan,” katanya yang menjadi nelayan sejak 25 tahun lalu.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan bantuan nelayan di bawah Pakej Kita Selangor oleh Exco Asas Tani Ir Izham Hashim di sini semalam.

Pada majlis itu, Izham menyerahkan sumbangan alat pengesan lokasi ikan dan baucar petrol kepada nelayan sekitar daerah ini.

Bagi nelayan dari Kampung Bagan Pasir Penambang Teo Chin Yong, 57, bantuan baucar bahan bakar diberikan Kerajaan Negeri dapat meringankan beban mereka yang berdepan pendapatan tidak menentu.

Teo Chin Yong. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Sekarang musim hujan jadi susah hendak turun ke laut, hasil pun kurang macam mana hendak beli minyak.

“Bila ada bantuan ini, dapat kami guna untuk tujuan itu apabila cuaca baik nanti,” katanya.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor memperuntuk lebih RM13 juta bagi membantu petani dan penternak yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0 merangkumi RM10 juta untuk program jaminan bekalan makanan, Program Agro Prihatin (RM1.5 juta) dan program peningkatan hasil (RM1.93 juta).


Pengarang :