Selangorkini
C Sree Abiraame bersama bapanya B Chendren Balakrishnan menunjukan replika cek tajaan ketika Majlis Penyerahan Tajaan Pihak Swasta Kepada Atlet Luncur Ais Selangor di Majlis Sukan Negeri Selangor, Shah Alam pada 23 Ogos 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Baru berusia sembilan tahun, peluncur ais negara juara di Estonia

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Peluncur ais muda negara C. Sree Abiraame mempamerkan persembahan memukau dan berjaya merangkul Trofi Tallin 2021 yang diadakan di Estonia pada Ahad.

Peluncur berusia sembilan tahun itu, berjaya meraih 23.49 mata untuk muncul juara dan mengetepikan tujuh peserta lain dalam acara luncur bebas kategori Cubs B perempuan.

Peluncur tuan rumah, Emilia Dratshenko menduduki tempat kedua dengan 23.33 mata manakala rakan senegaranya, Tatiana Izymnikova meraih tempat ketiga apabila mengumpul 21.77 mata.

“Terima kasih atas semua sokongan. Terus doakan saya dan saya boleh melakukannya,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Bulan lepas, Sree menduduki tempat kedua dalam kategori sama pada Piala Narva 2021 juga di Estonia.

Sree yang telah memenangi lebih daripada 50 pingat emas dalam pelbagai peringkat pertandingan, telah mengukir namanya dalam Asia Book of Record (ABOR) sebagai Pemenang Pingat Termuda dalam Luncur Ais Antarabangsa pada 2019.

Dia juga diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Peluncur Termuda memenangi Kejohanan Luncur Ais ‘Skates Asia’ (Wanita) pada 2017.

-BERNAMA

 

 


Pengarang :