Notis penutupan aktiviti rekreasi sepanjang pantai di daerah Kuala Langat berikutan fenomena air pasang besar digantung di pintu masuk Pantai Morib, Kuala Langat pada 4 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Batal hasrat bersiar-siar di pantai susulan air pasang besar

KUALA LANGAT, 4 NOV: Hasrat seorang suami mahu membawa isteri bersiar-siar di Pantai Morib di sini terpaksa ditangguhkan selepas larangan aktiviti di kawasan pantai susulan fenomena air pasang besar.

N Gunasegar, 57, berkata dia hanya mengetahui larangan itu selepas terbaca kain rentang yang memaklumkan perkara berkenaan.

N Gunasegar. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kami sekeluarga tidak menyambut Deepavali tahun ini kerana kematian ibu saya jadi bawa isteri untuk berjalan-jalan di sini memandangkan ini kampungnya.

“Tidak sangka pula kawasan ini ditutup tetapi tidak mengapa kami boleh datang semula beberapa hari lagi,” katanya kepada SelangorKini.

Bagi Shazwan Mohd Zain, 35, pula berasa sedikit terkilan kerana datang dari Kelantan untuk bercuti di kawasan berkenaan.

“Saya rancang untuk berkelah bersama anak-anak dan isteri tetapi tak sangka pula ditutup… saya memang tak tahu kerana tidak mempunyai sebarang maklumat.

Shazwan Mohd Zain. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Namun bersyukur kerana pihak berkuasa memasang pita keselamatan untuk melarang orang ramai masuk sekurang-kurangnya dapat mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Sementara itu tinjauan SelangorKini selama dua jam bermula 2 petang di Pantai Morib mendapati kawasan pantai berkenaan lengang.

Walaupun terdapat pengunjung namun masing-masing berpatah balik selepas membaca larangan selain kawasan parkir ditutup dengan pita keselamatan.

Pada 30 Oktober, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menyaran orang ramai khususnya penduduk di daerah itu tidak memasuki kawasan peranginan pantai sepanjang fenomena air pasang besar dan peralihan monsun timur laut yang bermula pada awal November ini.

Yang Dipertuanya Dato’ Amirul Azizan Bin Abd Rahim berkata air pasang besar dijangka berlaku bermula 3 hingga 7 November ini dan pihaknya akan menggerakkan petugas bagi membuat pemantauan serta penguatkuasaan di kawasan terlibat.


Pengarang :