Datuk Bandar Shah Alam Datuk Zamani Ahmad Mansor (tiga, kiri) ketika melancarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tanpa tunai di Dewan Auditorium, MBSA, Shah Alam pada 9 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Bayar kompaun, sewa premis MBSA dalam talian menjelang 2022

SHAH ALAM, 9 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperluas khidmat bayaran tanpa tunai bagi kompaun, parkir dan sewaan premisnya menjelang tahun depan.

Datuk Bandar Shah Alam berkata langkah itu susulan sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang membayar cukai taksiran menggunakan kaedah tersebut sejak Julai lalu.

“Jumlah yang membayar tanpa tunai ini meningkat setiap penggal dengan lebih 60 peratus tahun ini, jadi kita cadang penggunaannya diperluas,” kata Dato’ Zamani Ahmad Mansor.

Beliau yang ditemui selepas melancarkan inisiatif itu di Dewan Auditorium di sini berkata bayaran secara tunai di kaunter masih diteruskan buat mereka yang memerlukan.

“MBSA berharap inisiatif ini memudahkan dan menjimatkan masa di samping mempromosi amalan gaya hidup baharu komuniti tanpa tunai menjelang 2022,” katanya lagi.

Pada 27 Julai, MBSA memperkenal kaedah bayaran cukai taksiran secara dalam talian melalui pautan
www.eps.mbsa.gov.my.


Pengarang :