Penghantar barangan Seldec menunjukkan isyarat bagus ketika menunggu giliran mendapatkan inisiatif RiDE oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Belanjawan 2022: Dapat sambutan, Kerajaan Negeri diharap teruskan RiDE

SHAH ALAM, 8 NOV: Kerajaan Negeri diharapkan meneruskan program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) pada tahun hadapan berikutan sambutan menggalakkan dalam kalangan mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Justeru, pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor mengharapkan Belanjawan Selangor 2022 pada 26 November nanti ada khabar gembira buat lebih 4,000 pemohon RiDE.

“RiDE untuk 2021 kita telah berikan kepada 3,227 orang iaitu melebihi kuota diperuntuk iaitu 3,000… ini pun ada lebih 4,000 lagi tidak dapat diproses kerana peruntukan telah habis selepas kita menerima lebih 8,000 permohonan.

“Kita harap belanjawan dari Kerajaan Negeri untuk sambung program ini kerana ramai lagi yang bergelut untuk mencari kerja. Kita harap ada peruntukan nanti, sama seperti yang lepas iaitu RM2 juta pun sudah memandai,” kata Mohd Nizam Marjugi ketika dihubungi SelangorKini.

Kerajaan Negeri menerima 8,011 permohonan untuk menyertai program RiDE setakat September tahun ini.

Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk RM2 juta untuk program tersebut yang menawarkan subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, kursus e-panggilan bernilai RM150 dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial RM70 setahun.


Pengarang :