Mazwan menyerahkan sumbangan RM5,000 kepada wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Kampung Teras untuk membaiki medan selera di kampung itu. Foto Facebook Mazwan Johar
ADNSELANGOR

Belanjawan 2022: Wakil rakyat harap peruntukan kekal, terus bantu rakyat

SHAH ALAM, 9 NOV: Belanjawan Selangor 2022 diharap dapat mengekalkan peruntukan Ahli Dewan Negeri (ADN) bagi membolehkan lebih ramai rakyat dibantu.

ADN Sungai Ramal Mazwan Johar berkata biarpun kes Covid-19 semakin berkurangan, masih ada rakyat yang susah dan memerlukan bantuan untuk kelangsungan hidup.

“Wakil rakyat mempunyai kelebihan untuk menyampaikan bantuan dengan cepat menggunakan peruntukan diberikan berbanding agensi-agensi yang mempunyai prosedur tertentu dan mengambil masa.

“Saya berharap jika tidak ditambah, peruntukan sedia ada dapat dikekalkan dalam mengurangkan beban rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

Tambahnya, Belanjawan 2022 juga dapat mempertimbang bantuan dalam kategori pembelajaran berikutan kelas dilakukan dalam talian.

Pada 8 Oktober lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi sesi taklimat Belanjawan 2022 memaklumkan semua ADN dan pimpinan komuniti Selangor terlibat dalam penyediaannya.

Malah, Belanjawan 2022 juga melibatkan wakil rakyat pembangkang dan bebas dalam membincangkan intipati belanjawan yang lebih konstruktif demi manfaat rakyat.

Pembentangan Belanjawan Selangor akan dilaksanakan pada 26 November ini dan dibahas dalam tempoh seminggu sebelum diluluskan pada Disember.


Pengarang :