Selangorkini
Atlet menembak Selangor menjalani latihan di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang pada 16 Jun 2020. Foto ASRI SAPIE/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Belanjawan negeri: MSN harap tumpu pembangunan atlet, fasiliti

SHAH ALAM, 17 NOV: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berharap program pembangunan atlet dan prasarana diberi tumpuan dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2022 pada 26 November.

Ia berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara hampir dua tahun menjejaskan prestasi atlet dan kemudahan sedia ada, kata Pengarah Eksekutifnya Mohamad Nizam Marjugi.

Beliau berkata MSN turut kehilangan ramai ahli sukan berikutan ada yang menyambung pengajian selain kurang berminat untuk meneruskan semula latihan pascawabak.

“Justeru, kita kena mula dari bawah termasuk mencari pelapis baharu kepada atlet sedia ada dalam sukan tertentu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Nizam berkata fasiliti MSN termasuk milik pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu ditambah baik bagi mengelak risiko kemalangan ketika menjalani latihan.

“Dalam tempoh ini mungkin banyak kemudahan tidak boleh digunakan kerana alatan sukan juga ada tarikh luput. Jika ada bajet diberikan, kita boleh gunakan untuk membaik pulihnya,” katanya.

Belanjawan Selangor 2022 yang dijadual dibentang di Dewan Negeri Selangor pada 26 November
menumpukan usaha merancakkan semula ekonomi selepas pandemik Covid-19 reda.

Pembentangan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV dan Facebook Media Selangor.

Liputan berita mulai jam 3 petang boleh dibaca melalui portal Selangorkini, Mandarin, Tamil dan Inggeris.

Maklumat pantas dan infografik isi menarik pula dimuatkan di media sosial dengan tanda #Selangor2022.


Pengarang :