EXCO Hal Ehwal Pengguna, Mohd Zawawi Ahmad Mughni Foto FIKRI YUSOF /SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Belanjawan #Selangor2022: Bantu perkasa usahawan industri halal

SHAH ALAM, 22 NOV: Belanjawan #Selangor2022 diharap dapat menumpukan usaha memperkasa usahawan dalam industri halal.

EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata tumpuan perlu diberikan kepada golongan tersebut yang turut terjejas susulan pandemik Covid-19.

“Selain itu, belanjawan kali ini juga dapat memberi penekanan kepada ekosistem ekonomi rakyat bagi memastikan semuanya kembali normal dan lancar selepas berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya juga berharap lebih banyak program pendidikan diwujudkan  kerana sektor itu banyak tertangguh selain dapat membantu pembelajaran murid,” katanya ditemui dalam Program Penyerahan Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) 2021 hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis berharap Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang menawarkan 33 kemudahan kepada rakyat negeri ini dapat dikekalkan.

“Program-program bantuan seperti ini diharap dapat dimantapkan lagi terutama untuk manfaat golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Terdahulu dua premis di daerah ini iaitu Kedai Buku MRKB Seksyen 19 dan Pusat Pakaian Hari-Hari Ole-Ole Seksyen 18 diiktiraf AKHP 2021 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Selangor.

Belanjawan #Selangor2022 dijadual dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Jumaat ini.

Pembentangan itu boleh diikuti secara langsung menerusi media sosial https://www.facebook.com/MediaSelangor

Pada 8 Oktober lalu, Amirudin menerusi sesi taklimat belanjawan memaklumkan semua Ahli Dewan Undangan (ADN) dan pimpinan komuniti Selangor terlibat dalam penyediaannya.

Malah, sesi taklimat itu juga melibatkan wakil rakyat pembangkang dan bebas dalam membincangkan intipati belanjawan yang lebih konstruktif demi manfaat rakyat.


Pengarang :