Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Inisiatif Selangor Freelance anjuran Permodalan Nasional Selangor Berhad di Wyndham Acmar Hotel, Klang pada 28 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Belanjawan #Selangor2022 fokus percepat pulih ekonomi, pendidikan

SHAH ALAM, 18 NOV: Merancakkan semula kegiatan ekonomi yang terjejas akibat penularan Covid-19 antara tumpuan utama Belanjawan Selangor 2022 yang akan dibentang pada 26 November ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beberapa langkah bagi mempercepat proses pemulihan sektor itu digerakkan bagi mengembalikan semula kehilangan hasil pada 2020 dan tahun ini.

‘Kita akan sediakan formula dan resipi untuk menggerakkan ekonomi dan lebih pantas supaya kehilangan pada 2020 dan tahun ini dapat ditangani dengan baik,” katanya dalam wawancara eksklusif semalam.

Selain itu, beliau juga akan mengumumkan beberapa strategi untuk mempersiap pentadbiran Kerajaan Negeri supaya lebih bersedia berdepan pandemik dan krisis ekonomi pada masa depan.

Amirudin menjelaskan Belanjawan Selangor 2022 juga mementingkan pendidikan sekalipun Kerajaan Negeri tidak meiliki kuasa penuh dalam sektor itu berikutan kesan besar pandemik terhadap bidang tersebut.

“Walaupun bukan sepenuhnya bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri tetapi (pendidikan) juga harus dilihat (diberi tumpuan) kerana membabitkan generasi masa depan,” katanya.

Beliau juga menambah kandungan Belanjawan 2022 diteliti dalam tempoh panjang termasuk mengambil kira pandangan pelbagai pihak bagi memastikan intipatinya membawa kesan positif kepada rakyat.

“Belanjawan 2022 bukan dihasilkan dalam sehari dua sahaja. Tahun ini, kita ada lima atau enam sesi libat urus bersama Ahli Dewan Negeri, pegawai dan jabatan.

“Semakin dekat belanjawan, makin kerap kami semak dan susun garis-garis belanjawan. Dengan kaedah ini, kita dapat bersedia dengan lebih lagi,” katanya.

Pembentangan berkenaan boleh diikuti secara langsung menerusi saluran SelangorTV (selangortv.my) dan media sosial www.facebook.com/MediaSelangor

Liputan berita pula boleh diikuti mulai jam 3 petang melalui portal SelangorKini (selangorkini.my) dan tiga edisi lain termasuk Mandarin (selangorkini.my/zh-hans/) serta Tamil (selangorkini.my/ta/).

 


Pengarang :