AGENDANASIONAL

Belanjawan #Selangor2022: Penggiat pelancongan cadang diskaun cukai pintu, bangkit pasca Covid-19

SHAH ALAM, 23 NOV: Pengurangan cukai pintu premis perniagaan antara diharapkan penggiat industri pelancongan melalui Belanjawan #Selangor2022 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Selangor berkata insentif itu wajar dipertimbangkan berikutan sektor berkenaan baharu sahaja kembali bernafas selepas terjejas teruk akibat Covid-19.

Gopalan Mariappan menjelaskan cadangan diskaun cukai pintu premis perniagaan juga sudah dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum ini.

“Walaupun dilihat agak sukar, namun kita amat berharap agar Kerajaan Negeri boleh teliti cadangan untuk beri diskaun cukai pintu yang dibayar pengusaha premis pelancongan kepada PBT.

“Sekarang adalah masa untuk pemain industri memulakan semula perniagaan dengan kelonggaran diberikan dalam fasa Pelan Pemulihan Negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan berjumlah RM2.55 juta bagi kelangsungan industri pelancongan.

Inisiatif terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 meliputi geran bantuan kewangan berjumlah RM1 juta kepada penggiat industri dan baucar pelancongan Selangor 2.0.

Bantuan lain termasuk program latihan pembelajaran pendigitalan pelancongan Selangor dan bantuan kewangan tunai buat 16 persatuan pelancongan negeri.

Malah, penghujung tahun lalu, seramai 553 penggiat sektor pelancongan menerima bantuan khas sekali bayar sebanyak RM1,000 selain menawarkan 10,000 baucar subsidi pelancongan bernilai RM200 setiap satu.

Diikuti awal Februari tahun ini, Amirudin mengumumkan penguatkuasaan pengecualian duti hiburan bermula 18 Mac hingga 31 Disember melibatkan kesan kewangan berjumlah RM26.35 juta bagi meringankan beban pengusaha sektor berkenaan.

Beliau turut memaklumkan cukai itu dikurangkan dari 25 kepada lima peratus selama lima tahun mulai 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026 dengan impak RM21.04 juta setahun.

Belanjawan #Selangor2022 yang dijadual dibentang di Dewan Negeri Selangor bakal memberikan tumpuan kepada usaha membantu rakyat merancakkan semula ekonomi pasca wabak Covid-19.


Pengarang :