Beberapa pengunjung meluangkan masa bermain futsal bersama rakan di Sport Station Futsal Balakong, Kajang pada 19 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Belanjawan #Selangor2022: Pengusaha sukan harap dana khas tampung kos operasi

SHAH ALAM, 23 NOV: Belanjawan negeri yang akan dibentangkan pada Jumaat ini diharap menyediakan dana khas buat pengusaha pusat sukan persendirian di Selangor.

Pengusaha Frenzy Sport Arena Hasron Misman berkata bantuan kewangan diperlukan bagi menampung kos baik pulih kemudahan yang tidak digunakan sepanjang tempoh penutupan premis terbabit.

“Hampir tiga bulan gelanggang permainan tidak digunakan sehingga menyebabkan bumbung bocor, peralatan sukan berkarat dan lantai rosak.

“Kami memerlukan kos yang tinggi bagi membaiki kerosakan tersebut kerana modal sedia ada hanya cukup untuk membayar sewa bulanan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Harapan sama disuarakan pengusaha All Terrain Vehicle (ATV) Ezzyride Fauziah Latiff yang mengalu-alukan bantuan dalam bentuk promosi dan dana untuk membeli peralatan baharu aktiviti sukan lasak itu.

Menurutnya, perniagaan diusahakan kira-kira 11 tahun lalu tidak terkecuali menerima kesan susulan penguatkuasaan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan Covid-19.

“Kami sedaya upaya untuk bangkit semula dalam perniagaan ini dengan membuat promosi melalui laman sesawang, platform media sosial dan kenalan terdekat bagi menarik semula kedatangan pengunjung.

“Namun kami masih mengharapkan bantuan Kerajaan Negeri sekiranya ada terutama dari segi promosi atau dana yang sekurang-kurangnya dapat meringankan beban pengusaha sukan ATV,” katanya.

Belanjawan #Selangor2022 yang akan dibentang di Dewan Negeri Selangor bakal menumpukan kepada usaha merancakkan semula ekonomi bagi membantu rakyat pasca wabak.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini berkata usaha ditekankan dalam bajet kali ini antaranya menambah hasil dan bantuan kepada penduduk terjejas Covid-19.

Pembentangan boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV (selangortv.my) dan menerusi media sosial https://www.facebook.com/MediaSelangor

Liputan berita majlis penting itu yang bermula jam 3 petang boleh diikuti melalui portal Selangorkini (selangorkini.my) dan tiga edisi lain, termasuk Mandarin (selangorkini.my/zh-hans/) serta Tamil (selangorkini.my/ta/).

Edisi Inggeris boleh dicapai melalui pautan http://selangorjournal.my

 


Pengarang :