Suasana pasar malam di Seksyen 6, Shah Alam yang dibenarkan beroperasi pada 16 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Belanjawan #Selangor2022: Peniaga pasar malam harap pengecualian sewa enam bulan

SHAH ALAM, 24 NOV: Lebih 1,200 peniaga pasar malam sekitar Klang dan Shah Alam mengharapkan pengecualian sewa tapak enam bulan diumum dalam Belanjawan #Selangor 2022 Jumaat ini.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputera Shah Alam dan Klang berkata ketika ini ekonomi peniaga baru mula pulih selepas hampir dua tahun terkesan akibat pandemik Covid-19.

Kamarul Nizam Razak berkata pertimbangan dari Kerajaan Selangor itu amat dinantikan memandangkan ia mampu mengurangkan beban peniaga.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputera Shah Alam dan Klang
Kamarul Nizam Razak.

“Tahun ini dan tahun lalu memang ada pengecualian dua bulan diberikan. Kami hanya perlu bayar untuk operasi selama 10 bulan.

“Bagaimanapun akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kami boleh berniaga hanya empat bulan kerana pasar ditutup. Harap Kerajaan Selangor dapat bantu kami pulihkan semula ekonomi,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Belanjawan #Selangor2022 dibentang Dato’ Menteri Besar di Dewan Negeri Selangor pada Jumaat ini bakal menumpukan kepada usaha merancakkan semula ekonomi bagi membantu rakyat pasca wabak Covid-19.

Pembentangan Dato’ Seri Amirudin Shari itu boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV (selangortv.my) dan menerusi media sosial https://www.facebook.com/MediaSelangor

Liputan berita majlis penting itu yang bermula jam 3 petang boleh diikuti melalui portal Selangorkini (selangorkini.my) dan tiga edisi lain, termasuk Mandarin (selangorkini.my/zh-hans/) serta Tamil (selangorkini.my/ta/).


Pengarang :