Orang ramai beratur untuk menaiki belon udara di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 Shah Alam pada 14 November 2021. Foto MBSA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Belon udara meriahkan Hari Tanpa Kenderaan Shah Alam

SHAH ALAM, 15 NOV: Hari Tanpa Kenderaan Shah Alam kembali diadakan semalam selepas tertangguh sejak Mac tahun lalu akibat Covid-19, kata Shahrin Ahmad.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkata sempena pembukaan, pihaknya melancarkan aktiviti belon udara yang membolehkan pengunjung menikmati pemandangan sekitar dari aras tinggi.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengadakan Hari Tanpa Kenderaan Shah Alam pada 14 November 2021. Foto MBSA

“Ini sebagai tarikan baharu dan majlis akan cuba meneruskannya setiap kali program berlangsung. Aktiviti larian, berbasikal, zumba, persembahan ‘buskers’, cabutan bertuah dan kuiz serta acara mewarna kanak-kanak turut diadakan.

“Untuk pencinta haiwan kita anjurkan ‘petting zoo’. Kita turut edar barangan terpakai percuma kepada peserta melalui program Eco Free Market,” katanya.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor menyempurnakan majlis berkenaan.

Shahrin berkata program bertempat di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 itu hanya melibatkan pengunjung yang berdaftar dan perlu mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

“Hanya 600 pengunjung sahaja berbanding 5,000 orang sebelum ini. Dahulu kita benarkan sesiapa saja sertai tetapi sekarang kita kawal bagi membendung penularan Covid-19.

“Mereka perlu lengkap vaksin dan menjaga penjarakan fizikal selain memakai pelitup muka serta mengambil suhu badan sebelum masuk,” katanya.

Program mendapat kerjasama Avisena Specialist Hospital dan KPJ Selangor Specialist Hospital itu turut mengadakan sesi saringan kesihatan percuma kepada pengunjung.

 

 


Pengarang :