Petugas kesihatan membuat persiapan mencucuk bebuli vaksin sebelum memberi suntikan secara pandu lalu kepada kakitangan Sirim di Shah Alam pada 31 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Belum muktamad dos penggalak syarat lengkap vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Kerajaan belum memutuskan dos penggalak sebagai syarat untuk seseorang individu itu dikategorikan telah lengkap menerima vaksinasi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata ketika ini Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membuat kajian berdasarkan pengalaman negara lain yang telah menetapkan dos penggalak sebagai syarat lengkap vaksinasi.
“Pakar-pakar juga sedang mengkaji keberkesanannya dan mereka akan membuat syor kepada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak (CITF-B).
“Kalau kita dapati kes meningkat, kemasukan ke hospital dan kematian juga meningkat disebabkan keengganan orang untuk terima dos penggalak dan sudah menjadi norma antarabangsa untuk mereka mensyaratkan vaksinasi lengkap ialah penerima series primer dan juga dos penggalak, maka kita akan membuat keputusan sama…tetapi (sekarang) belum lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda Awani bertajuk ‘Dos Penggalak Jadi Perisai’ yang disiarkan menerusi Astro Awani, malam tadi.
Khairy berkata buat masa ini kerajaan mengiktiraf vaksinasi lengkap bagi individu penerima dua dos vaksin AstraZeneca, Sinovac dan Pfizer yang tiada masalah kesihatan.
Beliau berkata Malaysia mungkin berdepan dengan gelombang baharu Covid-19 sekiranya liputan pemberian dos penggalak itu tidak disegerakan.
“Kalau liputan dos penggalak tidak tinggi macam liputan (pemberian vaksinasi) dos pertama, kedua yang (menjadi) antara terbaik di dunia…kes, kadar kemasukan ke hospital dan kematian akan meningkat,” katanya.
Beliau berkata Israel pernah berdepan dengan gelombang ketiga meskipun telah menyelesaikan vaksinasi dalam tempoh yang pantas.
“Israel, mereka mungkin negara terpantas selesaikan vaksinasi, apabila selesai vaksinasi dos pertama dan kedua kes dan kematian menurun, ini menunjukkan keberkesanan vaksinasi.
“Namun, selepas melihat terdapatnya kumpulan yang tidak mengambil vaksin dan melihat kepada penurunan keberkesanan vaksinasi hingga tercetusnya gelombang ketiga, mereka (Israel) percepatkan pemberian dos penggalak dan hari ini (kes) menurun balik…jadi negara awal ini menjadi ‘leading indicator’ tentang apa perkembangan yang perlu kita sediakan di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata daripada lebih 1.7 juta dos penggalak jenis Pfizer yang telah diberikan di negara ini, sebahagian besar kesan sampingan ringan dilaporkan adalah seperti lenguh, sakit di lengan serta demam dan data berkenaan didapati sama dengan kesan sampingan yang dialami penerima vaksin dos pertama dan kedua.
“Daripada jumlah ini (1.7 juta), hanya 11 kes boleh dikategorikan agak serius macam alahan dan sebagainya, tetapi ia tidak menyebabkan kemasukan ke hospital yang serius setakat ini,” katanya.
Khairy berkata strategi kesihatan awam yang diguna pakai KKM dalam pemberian vaksinasi dos penggalak adalah mendidik dan memberi penerangan kepada rakyat terlebih dahulu dan bukannya dengan cara memaksa, iaitu sama seperti pendekatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Selepas itu, barulah kita beralih strategi yang mungkin lebih agresif, misalnya mengatakan bahawa hanya individu yang lengkap vaksinasi boleh diberikan kebebasan tertentu,” katanya.
– BERNAMA

Pengarang :