Ketua pasukan Selangor FC Brendan Gan. Foto Facebook Brendan Gan
AGENDASUKANKINI

Brendan Gan setuju kekal bersama Selangor FC hingga 2022

SHAH ALAM, 21 NOV: Kapten Selangor FC (SFC) Brendan Gan bersetuju melanjutkan kontrak untuk kekal bersama pasukan Gergasi Merah sehingga 2022.

Mengumumkan perkara itu, SFC berkata sejak menyertai pasukan dua tahun lalu Brendan sering menjadi contoh terbaik bukan sahaja sebagai pemain malah simbol inspirasi dalam melawan penyakit barah.

“Dia bekerja keras untuk kembali beraksi dan bakal berlatih dengan pasukan utama tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan di selangorfc.com hari ini.

Pada 26 Julai, Brendan yang juga pemain tengah Harimau Malaya disahkan menghidap barah testis.

Kali terakhir Brendan beraksi secara kompetitif ketika membantu skuad Harimau Malaya mengharungi cabaran pusingan kedua kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun.

Walau tidak turun beraksi, SFC masih membayar gajinya dan memenuhi kewajipan seperti dipersetujui dalam kontrak pemain berdarah campuran Malaysia-Australia itu.

Brendan mula mewarnai bola sepak Malaysia pada 2012 dengan menyertai Sabah dan berhijrah ke Kelantan, Perak sebelum menyertai Selangor FC pada 2020.

Aksi cemerlang ditampilkan Brendan membawanya ke skuad bawah 23 tahun kebangsaan pada 2013 dan skuad utama sejak 2016 hingga kini.


Pengarang :