Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kasim berucap ketika majlis Perhimpunan Penjawat Awam di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 8 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Budaya dialog dijadikan norma baharu, dapat kukuh perpaduan

SHAH ALAM, 25 NOV: Budaya dialog perlu diterapkan sebagai norma baharu dalam kalangan masyarakat supaya perpaduan antara kaum dapat dikukuhkan, kata setiausaha Kerajaan Negeri.

Dato’ Haris Kasim berkata kerjasama dan perbincangan tanpa membezakan agama mampu mencegah timbul isu sosial, rasuah, alam sekitar, rumah tangga dan dadah.

“Setiap agama perlu berganding bahu membincangkan pelbagai isu dan mencari jalan penyelesaian memandangkan masalah saling berkait serta berisiko mendatangkan situasi luar jangkaan.

“Terutama pada pasca Covid-19 yang mencabar ini, usaha bersepadu melibatkan agensi kerajaan, komuniti dan individu tanpa mengira agama dan etnik penting. Jadi kita harus bersama-sama menggerakkan tenaga, kepakaran serta sumber supaya membentuk kesepaduan,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Konvensyen Dialog Antara Agama Negeri Selangor 2021 yang berlangsung secara maya hari ini.

Jelasnya, semua pihak juga perlu mematuhi dan mengamalkan prinsip perpaduan bagi melindungi keharmonian negara.

“Diharap majlis dijayakan hari ini menjadi platform untuk semua pihak mengupas semua isu lebih mendalam sekali gus menghasilkan cadangan yang praktikal untuk dimanfaatkan masyarakat,” katanya.


Pengarang :