Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kanan) meluangkan masa menyantuni dan mendengar masalah nelayan di Pengkalan Nelayan Sungai Kertah sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November 2021. Foto ASRI SAPFIE/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Calon HARAPAN perlu kreatif, guna media sosial dekati pengundi

MELAKA, 15 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) disaran terus kreatif mendekati pengundi bagi meraih sokongan dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi HARAPAN Selangor turut mencadangkan mereka menggunakan kelebihan bersemuka di tempat awam sebelum kempen tamat pada 19 November.

“Saya juga galakkan calon menggunakan media sosial sebagai alat hubungan komunikasi antara rakan-rakan tetapi tidak semestinya di Melaka sahaja,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau turut berharap orang ramai menterjemah sokongan dalam bentuk undi sekali gus mengembalikan mandat kepada HARAPAN yang pernah mentadbir negeri itu selama 22 bulan.

“Kita harap keterujaan ini benar-benar diterjemah dengan undi. Kita risau mereka yang berada di luar Melaka dan calon perlu lakukan sesuatu berbaki beberapa hari lagi,” katanya.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar meluangkan masa dua hari ke Melaka bagi membantu kempen calon HARAPAN dengan meninjau 12 Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai Jumaat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November sebagai hari pengundian manakala undi awal esok susulan pembubaran DUN Melaka penggal ke-14.


Pengarang :