Kanak-kanak autistik dari Persatuan Inisiatif Sokongan Autisme Nouri Berhad (Insani) mengadakan persembahan dalam suatu majlis di Wisma PKPS, Shah Alam pada 13 Mac 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELAMGORKINI
AGENSISELANGOR

Dana RM3 juta perkasa program anak istimewa

SHAH ALAM, 26 NOV: Sebanyak RM3 juta diperuntuk bagi melaksanakan pelbagai inisiatif menerusi Jabatan Anak Istimewa Selangor (Anis) pada tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antara usaha dilaksanakan adalah menubuhkan Akademi Anis selain memberi bantuan kewangan untuk menjayakan program Didik Anis.

“Sejak ditubuhkan pada 2018, Anis di bawah Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) melaksanakan pelbagai program dan inisiatif antaranya menyediakan bantuan subsidi yuran pusat terapi dan kewangan bagi pembelian barangan serta peralatan melalui Bantuan Khas Anis.

“Selain itu, Akademi Anis akan ditubuhkan untuk membangun kapasiti warga pendidik Anis. Kerajaan Negeri juga memberikan bantuan kewangan kepada Pusat Program Intervensi Awal (EIP) dan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) melalui program Didik Anis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Menurut Amirudin, Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anis (Pusat Anis) yang ditubuh pada Ogos lalu turut diperkasa dengan modul baharu iaitu modul persediaan ke sekolah bagi anak istimewa berusia dua hingga lima tahun.

Katanya, Kerajaan Negeri turut memperuntuk RM1 juta pada tahun ini bagi membantu orang kelainan upaya (OKU) mendapat peluang pekerjaan dalam industri.

“Pada tahun ini, satu Pusat Kehidupan Berdikari (Independent Living Centre – ILC) yang akan memberi latihan pekerjaan dan pemberdayaan kepada kumpulan OKU sasar akan diwujudkan.

“Pusat ini akan memfokuskan Latihan Vokasional kepada OKU berumur 18 tahun ke atas untuk membolehkan mereka berdikari dan bekerja serta dapat hidup bersama dalam masyarakat tanpa merasa terasing,” katanya.

Selain itu, demi memastikan kesihatan ibu bapa anak OKU terjaga Kerajaan Selangor juga mewujudkan Program Khas Pemeriksaan Kesihatan khusus untuk golongan ibu bapa anak OKU ini.

“Inisiatif ini bertujuan untuk menjaga kebajikan ibu bapa Anis (yang mempunyai kad OKU) dalam aspek kesihatan supaya dapat terus memberikan penjagaan yang sebaiknya kepada anak mereka,” katanya.


Pengarang :