AGENDANASIONAL

Dr Sheikh Muszaphar, Altimet meriahkan Pesta Buku Selangor

SHAH ALAM, 22 NOV: Pesta Buku Selangor 2021 pada Disember ini bakal menampilkan beberapa tokoh dan selebriti antaranya angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata individu terkenal itu terbabit beberapa segmen berbeza yang bertujuan menggalakkan kehadiran orang ramai dari peringkat kanak-kanak hingga ibu bapa.

“Dr Sheikh Muszaphar akan bercakap mengenai ilmu keibubapaan. Selain beliau penyanyi hip hop Altimet dan bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik juga akan sertai.

“Kedua-duanya turut memanfaatkan pesta ini dengan melancarkan buku mereka. Ahli Kopratasa Sani Sudin bersama Adinda Amiro pula membuat persembahan nyanyian menghiburkan pengunjung,” kata Datin Paduka Mastura Muhamad hari ini.

Beliau berkata beberapa artis yang menjadi inspirasi kepada masyarakat juga dijangka menyertai majlis yang dilangsungkan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) itu.

“Bagaimanapun kita masih belum dapat pengesahan mereka. Semua selebriti ini mempunyai keistimewaan dalam bidang masing-masing,” katanya.

Pesta buku selama 11 hari bermula 2 hingga 12 Disember berlangsung dari 10 pagi hingga 9 malam manakala pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 10 malam.

Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan dengan diskaun menarik selain menyediakan 152 gerai jualan.

Selain kepelbagaian aktiviti, pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah wang tunai RM500 setiap hari.

 

 


Pengarang :