AGENDAJENAYAH

Dua sindiket edar dadah tumpas babit rampasan bernilai RM1.11 juta

JOHOR BAHRU, 14 NOV: Polis Johor menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.11 juta menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar daerah ini dan Kota Tinggi pada 9 dan 10 Nov lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata serbuan pertama di Kota Tinggi pada 9 Nov lepas, antara 1.50 tengah hari hingga 3 petang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berumur 39 tahun dan seorang lelaki Indonesia berumur 49 tahun yang kedua-duanya dipercayai dalang sindiket berkenaan.

Beliau berkata menerusi penahanan dua individu itu, pihaknya menemukan dadah jenis ganja seberat 14.55 kilogram bernilai RM36,392 yang disembunyikan di dalam sebuah kereta Honda CRV.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyeludup dadah yang dipercayai diambil dari utara Semenanjung ke negara jiran dengan melalui jalan laut dan ia telah beroperasi sejak awal Julai tahun ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Ayob Khan berkata pihaknya turut menyita kereta terbabit bersama sebuah motosikal Yamaha LC135 serta wang tunai RM564 dan mata wang Singapura sebanyak S$279.

Beliau berkata kedua-dua individu itu direman selama tujuh hari bermula 10 Nov lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, dua serbuan lagi dilakukan di sekitar daerah ini kira-kira pukul 9 pagi hingga 2 petang, 10 Nov yang membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM1.07 juta yang dipercayai untuk kegunaan ‘private party’ atau parti persendirian dan pusat hiburan.

Ayob Khan berkata rampasan melibatkan sebanyak 21.18 kilogram serbuk ekstasi, 78.6 gram ketamin, 1.8 gram syabu, 90 biji pil ekstasi dan 170 biji pil Erimin 5.

Beliau berkata seorang lelaki tempatan berumur 23 tahun dan pasangan suami isteri masing-masing berumur 59 dan 53 tahun yang ketiga-tiganya dipercayai bertindak sebagai dalang sindiket itu, turut ditahan dalam serbuan berkenaan.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyewa apartment ‘gated and guarded’ sebagai stor pembungkusan dadah untuk kegunaan ‘private party’ dan pusat hiburan di sekitar daerah ini,” katanya yang turut menjelaskan sindiket berkenaan disyaki telah beroperasi sejak Ogos tahun ini.

Ayob Khan berkata hasil saringan ujian air kencing mendapati seorang daripada mereka yang ditahan positif ketamin, manakala seorang lagi mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata ketiga-tiga individu itu direman selama tujuh hari bermula 11 Nov lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelasnya, dadah yang dirampas menerusi kedua-dua sindiket itu boleh digunakan untuk kira-kira 85,882 penagih dadah.

– BERNAMA


Pengarang :