ADNSELANGOR

DUN Seri Serdang agih lebih 5,000 bakul makanan sepanjang PKP

SHAH ALAM, 7 NOV: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang mengagihkan lebih 5,000 bakul makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pengurusnya Mashitah Ismail berkata inisiatif itu masih diteruskan sehingga kini meskipun PKP sudah tamat bagi memastikan tiada golongan terputus bekalan makanan.

“Malah, Yang Berhormat Dr Siti Mariah (Ahli Dewan Negeri Seri Serdang Dr Siti Mariah Mahmud) juga mengalu-alukan penduduk sekitar yang memerlukan makanan untuk tampil ke pusat khidmat bagi memohon bantuan ini.

“Bakul makanan ini juga tidak khusus kepada golongan kurang berkemampuan (B40) sahaja sebaliknya ia terbuka kepada semua golongan yang hampir terputus bekalan asas,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 9 Oktober, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak RM1.1 bilion dibelanjakan melalui beberapa pakej ekonomi bagi membantu rakyat mendepani Covid-19 dalam tempoh dua tahun.

Pelan tersebut meliputi dua siri Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor dan Pakej Kita Selangor serta Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor untuk menangani dampak wabak.

Dato’ Menteri Besar berkata program bakul makanan antara yang mendapat perhatian serta memanfaatkan ratusan ribu keluarga di Selangor dalam berdepan pandemik Covid-19.


Pengarang :