AGENDANASIONAL

Empat beranak ugut, serang wanita direman empat hari

SHAH ALAM, 28 NOV: Polis menahan empat sekeluarga selepas disyaki mengugut serta melakukan perbuatan khianat terhadap seorang suri rumah dalam kejadian sekitar Jalan Besar Kampung Tumbuk Darat,Tanjung Sepat, Kuala Langat pada 24 Nov lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh dalam kenyataan memaklumkan kesemua suspek yang ditahan di rumah di Jalan Besar, Kampung Tumbuk Darat sekitar 9 malam itu berusia 21 hingga 49 tahun terdiri daripada pasangan bapa ibu dan dua anak perempuan.

“Tangkapan tersebut dilaksanakan susulan laporan yang dibuat oleh mangsa berusia 41 tahun itu yang mendakwa keretanya telah ditahan enam individu termasuk tiga wanita ketika melalui Jalan Parit A, Kampung Tumbok Darat sekitar jam 12 tengah hari Rabu lalu.

Mangsa mendakwa ditahan di mana salah seorang daripada mereka telah menggunakan sebatang kayu memukul keretanya dan bertindak untuk memecahkan cermin keretanya,” katanya.

Ahmad Ridhwan berkata punca kejadian dipercayai salah faham susulan wanita itu memuat naik kenyataan di aplikasi media sosialnya mengenai isu anti vaksin dan katanya lagi, mangsa pernah ke rumah suspek bagi memujuk ibu mertua salah seorang suspek untuk mengambil suntikan vaksin bagaimanapun ditolak.

“Suspek dipercayai tidak berpuas hati dan tersinggung dengan status yang dimuat naik wanita itu kemudian bertindak menyerang mangsa bersama ahli keluarga yang lain,” katanya.

Ahmad Ridhwan berkata kesemua mereka direman empat hari bermula 25 Nov lalu sehingga esok dan kes disiasat bawah Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 19 saat dari aplikasi Tik Tok menunjukkan beberapa individu seakan mengepung sebuah kenderaan dan salah seorangnya dilihat memegang sebatang kayu.

-BERNAMA


Pengarang :