(Hiasan) Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan cuba menculik seorang kanak-kanak tujuh tahun. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Enam penuntut UPNM dipenjara 18 tahun sebabkan kematian Zulfarhan

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Mahkamah memerintahkan mereka menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 1 Jun 2017.

Lima tertuduh itu sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Azman dalam keputusannya mendapati keenam-enam tertuduh bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan Osman tanpa niat membunuh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap lima tertuduh kecuali Mohamad Shobirin serta 12 rakannya selepas didapati bersalah atas pertuduhan mencederakan Zulfarhan Osman.

Mohamad Shobirin sebelum ini didakwa atas kesalahan mencederakan, tetapi telah dilepaskan dari pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan.

Dua belas penuntut itu ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.

Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan Osman untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan hukuman terhadap Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Abdoul Hakeem bagi kesalahan menyebabkan kematian dan mencederakan berjalan serentak.

Mereka akan menjalani kedua-dua hukuman itu selama 18 tahun.

“Manakala bagi 12 lagi tertuduh, mahkamah memerintahkan hukuman penjara tiga tahun bermula hari ini,” kata Azman.

Azman juga membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman penjara bagi tertuduh yang didapati bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan jaminan RM7,000 sebelum ini dikekalkan sehingga rayuan terhadap keputusan hari ini didengar.

Azman dalam penghakimannya berkata hukuman yang dikenakan ke atas tertuduh bukan sahaja untuk memberi rasa takut dan perit kepada tertuduh tetapi juga kepada masyarakat.

“Sekiranya hukuman yang dijatuhkan hanya dengan diikat jamin kelakuan baik (seperti yang dimohon peguam tertuduh) ia tidak memberi kesan kepada masyarakat. Zulfarhan Osman kawan tertuduh tetapi kita perlu fikir ibu bapa dan keluarga mangsa (Zulfarhan Osman).

“Melihat kepada jasad si mati (Zulfarhan Osman) saya tidak boleh bayangkan seterika wap kena memang sakit, kalau (menekap) bahagian sensitif tak tahu si pelaku nak dikategorikan sebagai apa, seperti penjenayah yang tiada belas kasihan,” katanya.

Beliau juga melahirkan rasa sedih terhadap tertuduh yang sepatutnya menjadi pegawai tentera, tetapi disebabkan kejadian itu mereka tidak dapat meneruskan pengajian di universiti berkenaan.

Azman berkata kejadian itu bukan hanya berlaku di universiti berkenaan tetapi ia juga terdedah kepada orang lain dan menasihati mereka yang menghadapi situasi seperti itu supaya menanganinya dengan baik.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh pertama dan kedua iaitu Muhammad Akmal Zuhairi dan Muhammad Azamuddin dalam rayuan bagi memohon hukuman ringan berkata kedua-dua anak guamnya cemerlang dalam pelajaran dan berdasarkan laporan akhlak daripada Penjara Sungai Buloh, mereka juga telah menguasai ilmu asas fardu ain dan al-Quran.

“Tertuduh pertama juga telah mewakili penjara itu dalam pertandingan hafazan al-Quran,” katanya dengan menambah itu adalah kesalahan pertama mereka dan tertuduh juga melahirkan rasa kesal serta simpati terhadap keluarga mangsa.

Peguam Azizul Shariman Mat Yusoff yang mewakili beberapa tertuduh lain memohon supaya anak guamnya diberi hukuman bon berkelakuan baik dengan alasan mereka pesalah muda yang berumur 21 tahun semasa kejadian.

Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Kesemua tertuduh yang kini berumur 25 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi hingga 5.30 pagi, 21 Mei 2017 dan dalam bilik 04-10 antara 4.45 pagi hingga 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Sementara itu, ibu Zulfarhan Osman, Hawa Osman, 58, ketika membacakan keterangan impak mangsa di dalam kandang saksi sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman berkata kejadian yang menimpa anaknya itu memberi kesan yang sangat besar kepadanya dan keluarga.

Menyifatkan Zulfarhan Osman sebagai lambang kasih sayang pertama untuk beliau dan suami dalam membina rumah tangga, Hawa berkata sejak kejadian tersebut, kesihatannya terjejas dan telah mengalami katarak yang serius ekoran kesedihan melampau serta darah tinggi kerana sukar tidur malam.

“Kejadian ini telah menyebabkan saya trauma melepaskan anak-anak lain untuk berdikari bagi menyambung pengajian. Saya juga trauma untuk membenarkan anak-anak lain menyertai badan beruniform.

“Saya mahukan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh yang menyebabkan saya kehilangan insan yang sangat bermakna dalam hidup saya. Hukuman ini diharap dapat membuka mata dan minda masyarakat supaya kejadian sebegini tidak berulang kepada ibu bapa lain,” katanya.

Semasa ditemui media di luar mahkamah, bapa Zulfarhan Osman, Zulkarnain Idros, 57, berkata secara peribadi, beliau sudah memaafkan kesemua tertuduh yang juga rakan sepengajian anaknya di UPNM.

-BERNAMA


Pengarang :