Ng Sze Han (dua, kanan) menyerahkan kalkulator saintifik dan set geometri kepada pelajar dalam program Jom Kembali Ke Sekolah di Pusat Kitar Semula, Kota Warisan, Sepang pada 7 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

EXCO: Sasar wujud pusat kitar semula di setiap PBT, atasi lambakan sampah

SEPANG, 7 NOV : Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti kawasan bersesuaian di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk dijadikan lokasi pusat kitar semula.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata rancangan masa hadapan itu bertujuan mengurangkan lambakan sampah di pusat pelupusan sekali gus menjimatkan kos ditanggung PBT.

“Kawasan itu perlu berada pada laluan digunakan lori kompaktor KDEB Waste Management supaya memudahkan proses kutipan selain menjimatkan masa.

“Sekarang pusat kitar semula dah ada di Meru, Klang dan Bandar Bukit Puchong, Puchong. Pembinaan dua pusat kitar semula ini dilihat berjaya dan sekarang kita usaha dapatkan tapak sesuai di semua PBT,” katanya.

Beliau ditemui Sze pada program Jom Kembali Ke Sekolah anjuran Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Majlis Perbandaran Sepang Zon Kota Warisan hari ini.

Sementara itu beliau berkata kesedaran masyarakat untuk melaksanakan aktiviti berkaitan penjagaan kebersihan dan amalan 3R (mengurangkan, guna semula, kitar semula) semakin meningkat.

“Penduduk, JPP, MPP (majlis perwakilan penduduk), JKP (jawatankuasa penduduk) dah banyak memulakan program 3R ini walaupun guna nama berbeza namun matlamatnya sama.

“Usaha ini perlu dilaksanakan secara konsisten bagi mendidik masyarakat  yang berdisiplin serta mementingkan penjagaan alam sekitar,” katanya.


Pengarang :