Selangorkini
Gambar diambil menggunakan dron menunjukkan ada aktiviti pembinaan di tapak projek perumahan yang tidak termasuk dalam kerja kritikal sepanjang PKP di Teluk Panglima Garang, Kuala Langat pada 2 Jun 2021. Foto CIDB Selangor
EXCO SELANGOR

EXCO: Waktu kerja sektor pembinaan diselaras, mudahkan operasi

SHAH ALAM, 25 NOV: Kerja pembinaan seluruh Selangor diselaraskan dari Isnin hingga Sabtu bermula 8 pagi hingga 6 petang, kata EXCO Kerajaan Tempatan.

Ng Sze Han berkata penetapan sejak 1 November itu bakal memudahkan operasi sektor berkenaan selain seiring dengan peralihan negeri ke fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Oktober.

“Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa sejak tahun lalu memberi kesan langsung kepada pengoperasian seterusnya menyebabkan kerja lewat siap.

“Bagaimanapun operasi kerja dari luar waktu dibenarkan perlu mendapat kelulusan khas pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sze Han berkata semua pemaju atau kontraktor juga diminta sentiasa patuh tatacara operasi piawai (SOP) dan undang-undang kecil PBT demi kepentingan semua pihak.

Pada 18 Oktober Selangor beralih ke fasa empat berdasarkan garis panduan yang ditetapkan PPN selain peratusan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa.

Sehubungan kerajaan membenarkan lebih banyak kelonggaran termasuk pembukaan pelbagai sektor ekonomi.


Pengarang :