Potret Almarhum DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Genap 20 tahun mangkat, Almarhum Sultan Salahuddin dikenang

SHAH ALAM, 21 NOV: Hari ini genap 20 tahun kemangkatan Almarhum Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan Selangor kelapan.

Baginda diputerakan pada 8 Mac 1926 di Istana Bandar Temasya, Kuala Langat dan mangkat jam 11.57 pagi, 21 November 2001 bersamaan 5 Ramadan 1422 Hijrah pada usia 75 tahun.

Baginda ketika itu adalah Yang di-Pertuan Agong ke-11 setelah ditabalkan pada 23 September 1999, menurut Facebook Selangor Royal Office.

Almarhum DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj seringkali melawat kampung sekitar Selangor termasuk di Pulau Lumut (kini Pulau Indah) dengan menaiki basikal ketika menjadi Sultan Selangor kelapan. Foto Facebook Selangor Royal Office

Baginda dilantik sebagai Raja Muda Selangor pada 13 Mei 1950 dan pernah menyertai latihan Askar Melayu Diraja di Port Dickson pada 1952 dengan ditauliahkan pangkat kapten.

Almarhum dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor kelapan pada 3 September 1960 dan dilantik Kolonel Yang di-Pertua Tentera Udara Diraja Malaysia pada 1966 dan Kapten Yang di-Pertua Tentera Laut Diraja Malaysia pada 1984.

Baginda juga Canselor Universiti Pertanian Malaysia yang kini dikenali Universiti Putra Malaysia dari 1977 sehingga 1993.

“Sebagai Sultan, Almarhum seringkali melawat ke kampung-kampung sekitar Selangor termasuk di Pulau Lumut (kini Pulau Indah) dengan menaiki basikal.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum. Al-Fatihah,” kata kenyataan itu.


Pengarang :