Selangorkini
BUDAYA RENCANA

Haji Borhan, Husin dan WhatsApp Kampung Besen

Oleh Fadli Zainal Abidin

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

 

HAJI Borhan, Ketua Kampung Besen telah letak jawatan tiga hari yang lalu. Ini semua gara-gara tersebar videonya memukul punggung monyet belaannya, si Kuntum.

Orang kampung kata, tindakan Haji Borhan itu sebagai tidak berperikemanusiaan. Si penyebar video, Husin menuntut agar orang kampung tidak berdiam diri. Kata Husin perkara sebegitu harus dilapor pada Jabatan Kebajikan Haiwan. Dalam perbualan kumpulan WhatsApp Kampung Besen, siang malam pagi petang Husin menuntut Haji Borhan letak jawatan. Memalukan! Memalukan! Memalukan! Perkataan itu diulang 100 kali oleh Husin dalam kumpulan WhatsApp Kampung Besen.

Setelah tidak tahan dengan desakan orang kampung, Haji Borhan akhirnya letak jawatan. Maka posisi Ketua Kampung kini kosong. Jika ikut Undang-undang Tubuh Kampung, kekosongan jawatan itu perlu diisi dalam tempoh 66 hari melalui proses pemilihan.

Maka dalam kumpulan WhatsApp Kampung Besen ramai yang memberi cadangan calon untuk mengisi kekosongan jawatan itu. Kak Limah yang meniaga kuih Keria Tawar merangkap bendahari kampung mencadangkan agar Rahman anak kepada Haji Borhan diberi peluang untuk menjadi ketua kampung. Kata Kak Limah, Rahman itu muda berusia awal 30-an, pendidikan sampai diploma dan rajin solat berjemaah di surau setiap kali pulang ke kampung.

Cadangan Kak Limah itu dibantah keras oleh Husin. Kata Husin, jawatan Ketua Kampung bukan untuk diwarisi. Tambahnya lagi, Rahman tidak bermastautin di kampung, tapi di Kuala Lumpur, berfahaman Liberal. Senang kata, Rahman ini bahaya untuk masyarakat konservatif Kampung Besen.

Kalau Rahman anak Haji Borhan pun dirasakan tidak sesuai untuk jawatan itu maka siapa yang paling layak? Hajah Rokiah, Ketua Wanita Kampung Besen yang juga isteri kepada Haji Borhan tampil dengan cadangan agar jawatan ketua kampung diisi oleh seorang wanita. Menurut Hajah Rokiah, wanita perlu diberi peluang memimpin. Maka dia mencalonkan dirinya sendiri. Ramai juga dalam kumpulan WhatsApp Kampung Besen menyokong jika Hajah Rokiah diberi mandat sebagai ketua kampung.

Bahaya, bahaya, bahaya. Tiga kali Husin ulang perkataan itu. Tegas Husin, kalau Hajah Rokiah sendiri tak boleh menegur perbuatan suaminya, bagaimana dia nak menjadi pemimpin yang dihormati. Silap hari bulan, Hajah Rokiah mungkin sekadar proksi kepada Haji Borhan. Mudah cakap, Ketua Kampung Boneka.

Maka Haji Borhan pun membuat satu tawaran. Dia minta agar diberi sedikit masa untuk memilih pengganti sesuai. Sementara calon itu ditemui, dia berhasrat menjadi ketua kampung interim. Katanya lagi, sekarang bukan masa yang sesuai untuk dilakukan pemilihan ketua kampung, bimbang kalau nanti kes Covid-19 di kampung mereka mencanak naik.

Husin membantah keras cadangan Haji Borhan itu. Majoriti penduduk kampung telah lengkap dua dos vaksin. Surau pun telah mula menerima kehadiran jemaah, warung Wak Karto pun telah dikunjungi pelanggan untuk makan disitu, jadi di mana logiknya pemilihan ketua kampung harus ditangguh? Husin ugut untuk bawa isu tersebut kepada Tuan Pegawai D.O. Kata Husin, demokrasi tidak harus dibunuh oleh ketakutan pada Covid-19.

Kata Husin, biar isu tersebut selesai ikut peraturan yang jelas. Maka Haji Borhan sekali lagi membuat kenyataan di kumpulan WhatsApp Kampung Besen. Kata Haji Borhan, kesihatan dan keselamatan penduduk kampung perlu diutamakan. Jawatan ini, kalau nak direbut sampai dunia kiamat pun tak akan habis. Haji Borhan turut meminta Husin agar muhasabah diri, jangan terlalu ikut hati kelak binasa.

Saranan itu tidak dipeduli oleh Husin. Kelihatan di kumpulan WhatsApp Kampung Besen dia telah muat naik karikatur Haji Borhan sedang memukul punggung seekor monyet bersama tulisan huruf besar berbunyi “Ketua Kampung Zalim”

Haji Borhan tidak mendiamkan diri, dia kemudian memuat naik rakaman video perutusan khas. Kata Haji Borhan, bukanlah dia tak mahu meletak jawatan, tetapi demi kepentingan penduduk kampung dia akan terus memelihara amanah dan tanggungjawab yang digalasnya selama 17 tahun ini.

Haji Borhan juga turut menjelaskan yang tindakan dia memukul punggung Si Kuntum bukannya tanpa sebab. Haji Borhan dalam nada sedih memberitahu, monyet belaannya itu telah mencuri sesikat Pisang Emas dari dapur rumah Tauke Ah Seng, jiran sebelah rumah Haji Borhan. Maka kata Haji Borhan, dia tak mahu nanti dituduh sebagai bersubahat dengan monyetnya itu. Tindakan memukul punggung Si Kuntum adalah satu pengajaran agar perbuatan tersebut tidak diulang.

Kata Haji Borhan, manusia kalau mencuri pun akan dihukum, inikan monyet, mesti turut dihukum sesuai dengan caranya. Haji Borhan turut menjelaskan yang dia telah ganti semula pisang yang dicuri oleh Si Kuntum.

Maka Tauke Ah Seng tidak mahu panjang cerita, menerima saja permohonan maaf Haji Borhan. Solidariti namanya. Haji Borhan juga sedar yang Husin ada merakam perbuatannya itu. Malah Haji Borhan turut buat pendedahan yang mengejutkan.

Jelas Haji Borhan, Husin beberapa kali dilihat merakam anak perempuannya ketika menjemur baju di belakang rumah. Haji Borhan turut menunjukkan bukti video perbuatan Husin itu. Rupanya sekeliling rumah Haji Borhan ada di pasang CCTV. Memang terkena Husin kali ini. Hampir seminggu Husin tidak bersuara di kumpulan WhatsApp Kampung Besen. Pedih menanggung malu. Malah dia dilihat telah left group.

Ramai penduduk kampung seperti tidak percaya Husin yang dilihat tegas rupanya ada sisi gelapnya. Di surau kelibatnya tidak kelihatan, di warung Wak Karto juga tidak nampak bayangnya. Rumahnya pula sentiasa gelap dan bertutup.

Semua orang tahu, Husin tinggal bersendirian sejak kematian isterinya lima tahun lalu. Dia tiada anak, malah perihal keluarganya juga tidak diketahui. Husin ini memang terkenal sebagai kaki bangkang. Semua perkara dia nak bangkang.

Suatu masa dulu, ada kumpulan nasyid hendak buat persembahan di kampung sempena Maal Hijrah. Tapi dibatalkan saat akhir kerana Husin persoalkan bayaran yang terlalu mahal. Kata Husin daripada membayar kumpulan nasyid tersebut lima ribu ringgit, baik duit tersebut dibuat jamuan makan untuk orang kampung. Persembahan nasyid pada malam itu tetap diteruskan, namun oleh kumpulan Marhaban Wanita Kampung Besen secara percuma. Ramai juga orang kampung yang hadir bukan kerana persembahan nasyid, tetapi kerana jamuan Nasi Arab Kambing Bakar.

Sebulan berlalu sejak pendedahan yang dibuat Haji Borhan berkait perilaku tidak senonoh Husin. Berita terbaru yang diterima, Husin telah meninggalkan Kampung Besen. Rahman, anak Haji Borhan beritahu yang Husin kini berada di Kuala Lumpur. Tambah Rahman lagi, Husin kini menjadi pemandu kepada seorang ahli politik. Di Facebook milik Husin, kelihatan gambar profilnya yang terbaru segak memakai kopiah putih dengan cop hijau bulat di sebelah tepi kopiah itu. Status terbarunya menyebut “Bumi Tuhan itu luas, selagi kita berusaha pasti ada bahagian untuk kita. Teruskan berusaha kawan-kawan kerana Tuhan sayang kita.”

 

 


Pengarang :