Jalan sambungan Kota Warisan/B20 (Missing Link) sepanjang 4.8 kilometer yang menghubungkan Kota Warisan dan Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hampir RM250 juta tingkat prasarana jalan raya

SHAH ALAM, 26 NOV: Jabatan Kerja Raya menerima peruntukan berjumlah RM138.13 juta bagi merapatkan jurang pembangunan antara daerah melalui peningkatan jaringan jalan raya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah diluluskan itu meliputi kos pelaksanaan semua projek jalan raya pada tahun depan.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri turut membelanja RM44 juta bagi menampung kos pembinaan jalan baharu di Gombak, Sepang dan Kuala Langat yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi sekitar.

“Bagi memastikan jalan sedia ada dapat menampung aliran trafik serta dapat mengatasi kesesakan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM65.4 juta bagi tujuan itu. Ia termasuk cadangan naik taraf jalan tertentu.

“Sejumlah RM2 juta turut diluluskan bagi kerja pewartaan jalan seluruh daerah negeri ini secara berperingkat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata Selangor bakal memperluaskan penggunaan sistem pintar aset jalan raya yang dilengkapi perisian sistem maklumat geografi (geographic information system) bagi mengatasi masalah jalan berlubang, garisan pudar atau kerosakan lain dengan lebih pantas.

Sistem dalam talian itu dikendalikan anak syarikat Kerajaan Negeri, Selgem Sdn Bhd dan kos pembiayaan ditanggung Kumpulan Semesta.

“Bagi meneruskan projek pembinaan dua jambatan iaitu di Kampung Sungai Kundang, Gombak dan Kampung Sungai Buah, Sepang sebanyak RM8.23 juta diperuntukkan.

“Untuk memastikan infrastruktur sedia ada dalam keadaan selamat, kos melibatkan RM4.98 juta akan dibelanja bagi kerja membina dan menaik taraf bangunan termasuk membaik pulih istana di negeri,” katanya.


Pengarang :