Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Maju Bersama HARAPAN di Melaka pada 10 November 2021. Foto BERNAMA
AGAMANASIONAL

HARAPAN kecewa Peguam Negara batal rayuan kes rasuah Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) kecewa dengan keputusan Peguam Negara membatalkan rayuan terhadap keputusan membebaskan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor daripada dakwaan kes rasuah.

Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya Peguam Negara tidak dapat menjustifkasikan keputusannya maka beliau harus letak jawatan.

“Tindakan membatalkan rayuan ini mewujudkan persepsi sangat buruk dan menghakis kepercayaan umum terhadap institusi Peguam Negara malah mencemarkan kredibiliti dan kebebasannya.

“Majlis Presiden akan meneliti kemungkinan tindakan Peguam Negara ini melanggar Perjanjian Memorandum Persefahaman di antara HARAPAN dan kerajaan, khususnya Perkara 4 berhubung kebebasan institusi kehakiman,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Anwar sebagai Presiden KEADILAN, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden UPKO Datuk Seri Madius Tangau

Anwar yang juga ketua pembangkang berkata, pihaknya menyedari Peguam Negara mempunyai kuasa untuk memutuskan sama ada menarik balik rayuan tersebut atau tidak.

“Namun dalam kes melibatkan pertuduhan kewujudan unsur-unsur rasuah terhadap seorang Ahli Parlimen dan bekas Menteri Persekutuan, rakyat menuntut agar rayuan kes tersebut didengar sehinggalah segala proses perundangan telah dilalui sepenuhnya,’’ katanya.

Pada 17 November portal The Edge dalam laporannya menyebut ia telah ‘difahamkan dengan pasti’ yang pihak pendakwaan telah menarik balik rayuannya berhubung kes rasuah membabitkan Ahli Parlimen Putrajaya.

Pada Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyabitkan Tengku Adnan ketika menjadi menteri wilayah persekutuan bersalah menerima rasuah RM2 juta daripada pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd, Chai Kin Kong.

Beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan kemudian membatalkan keputusan itu pada Julai lalu.

Pengerusi panel hakim Suraya Othman memutuskan RM2 juta yang diterima Tengku Adnan adalah sumbangan politik untuk dua pilihan raya kecil.

 


Pengarang :