Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengaminkan doa semasa santai malam bersama calon Pakatan Harapan (HARAPAN) DUN Sungai Rambai Farzana Hayani Mohd Nasir (dua, kiri) di Medan Selera Kota Budaya Sungai Rambai, Jasin, Melaka pada 12 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

HARAPAN terus dekati pengundi walau berdepan sekatan kempen

JASIN, 13 NOV: Pakatan Harapan (HARAPAN) terus mendekati pengundi sekalipun berdepan sekatan tertentu sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jentera parti gabungan itu tetap bekerja keras di sebalik limitasi dikenakan pihak berkuasa pilihan raya.

Amirudin yang juga pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor mengakui sekatan kempen dan ceramah fizikal menjejaskan hampir 90 peratus gerak kerja calon serta petugas parti.

“Saya dapati ada banyak kekangan dan harap ia dilonggarkan. Mereka (calon dan jentera) bekerja keras dengan halangan yang ada, tetapi keadaan ini menjadikan PRN agak pincang.

“Sewajarnya pelbagai formula patut dibenarkan antaranya kempen dan ceramah pandu lalu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program santai malam di Medan Selera Kota Budaya Sungai Rambai malam tadi.

Amirudin turut mempertikai tindakan pihak berkaitan menghalang penggunaan logo parti ketika makan dan minum yang disifatkan bertentangan dengan semangat demokrasi.

“Alasan tak boleh pakai lambang (parti) ketika makan dan minum ini agak melampau daripada batas undang-undang.

“Kalau perbuatan memasang lambang dianggap boleh menyebarkan virus, saya pun kurang arif rujukan di mana dibuat pihak terlibat yang ternyata mengganggu niat untuk berkempen sebagaimana dijamin perlembagaan,” katanya.

Pada 8 November, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarang penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka diadakan sepanjang tempoh PRN Melaka.

SPR menetapkan hari mengundi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan HARAPAN menampilkan 11 calon dari KEADILAN, lapan calon DAP dan Amanah (sembilan).


Pengarang :