Yusof Yigit memberi penerangan mengenai sistem dalaman helikopter kepada wartawan SelangorKini ketika Pameran Udara Selangor (SAS) 2021 di Pusat Penerbangan Serantau SkyPark, Subang pada 27 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Helikopter T625 Gökbey milik Turkish Aerospace jadi tumpuan pengunjung Pameran Udara Selangor

SUBANG, 27 NOV: Helikopter pelbagai guna milik syarikat Turkish Aerospace Industries (TAI) menggamit tumpuan pengunjung dalam Pameran Udara Selangor (SAS) 2021 di Pusat Penerbangan Serantau SkyPark, di sini.

Orang ramai dilihat mengerumuni replika pesawat jenis T625 Gökbey berwarna biru laut selain tidak melepaskan peluang merakam foto kenangan pada hari terakhir SAS.

Yusof Yigit

Pengurus Pemasaran Korporat TAI Yusuf Yigit berkata pesawat yang memiliki berat pelepasan maksimum (MTOW) 6,050 kilogram (kg) itu agak unik kerana mampu terbang dalam persekitaran geografi sukar serta cuaca buruk.

“Helikopter sepanjang 15.87 meter dengan diameter rotor 13.20 meter direka khusus untuk menjalankan misi besar termasuk membawa penumpang, individu kenamaan (VIP), heli kargo dan heli latih.

“Selain mampu membawa 1.020 liter bahan bakar, helikopter ini berupaya terbang pada ketinggian 20,000 dari paras laut dengan kelajuan maksimum 306 kilometer (km) sejam.

“Dengan ruang kabin yang luas, helikopter ini juga mampu memuatkan 12 penumpang dengan dikendalikan dua juruterbang termasuk pembantunya,” katanya ketika ditemui Selangorkini hari ini.

Terdahulu, syarikat gergasi aeroangkasa dan pertahanan Turki itu antara 43 pempamer yang terlibat dalam acara julung kali berlangsung selama tiga hari bermula Khamis lalu.

SAS 2021 turut menyaksikan TAI menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Sirim Berhad bagi membangunkan ekosistem industri aeroangkasa.

Mengulas lanjut, Yusuf berkata pihaknya membuka sebuah pusat kejuruteraan dan reka bentuk pertama di Asia Tenggara yang terletak di Cyberjaya bagi tujuan itu.

Menurutnya, jurutera Malaysia dan Turki akan melaksanakan kajian dalam beberapa bidang meliputi pesawat tanpa pemandu, pesawat latihan, projek helikopter dan program pemodenan penerbangan antarabangsa.

“Kita percaya potensi yang ada di Malaysia, sebab itu kami mahu meluaskan pengalaman menerusi sinergi baharu bagi mengukuhkan industri penerbangan antarabangsa terutama di rantau ini,” katanya menambah TAI akan tampil pada edisi kedua SAS tahun depan.


Pengarang :