Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) merasmikan i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim ketika Majlis Pelancaran Skim Baharu Hijrah Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 27 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Hijrah sasar 100 usahawan mohon skim i-Lestari sehingga akhir tahun

SHAH ALAM, 11 NOV: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menyasarkan 100 usahawan menerima pembiayaan skim i-Lestari sehingga akhir tahun ini, kata pengurus promosinya.

Mohd Ridhwan Asmara berkata skim diperkenal akhir bulan lalu menawarkan pembiayaan antara RM51,000 hingga RM100,000 kepada usahawan terlibat dalam semua aktiviti ekonomi.

Beliau menjelaskan seramai 27 individu mendapat manfaat tersebut dengan nilai pembiayaan RM2.56 juta setakat ini, majoriti terlibat dalam perniagaan pembekal dan perkhidmatan.

“Kita menyeru mereka yang sudah menjalankan perniagaan serta memiliki lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar memanfaatkan skim ditawarkan.

“Ini selari dengan hasrat kita (Hijrah) untuk membantu peniaga mengembangkan lagi aktiviti perniagaan sekali gus bangkit semula selepas terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya ketika dihubungi semalam.

Individu berminat boleh memohon melalui laman sesawang www.hijrahselangor.com atau hubungi pegawai pembiayaan di 20 cawangan Hijrah.

Pada 27 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan skim i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim di bawah Hijrah yang berkonsepkan islamik.

Skim berkenaan diperkenal bagi usahawan memulih dan memulakan semula perniagaan terjejas susulan Covid-19.

Amirudin menjelaskan jumlah pinjaman ditingkatkan daripada RM50,000 kepada RM100,000 untuk mengembangkan perniagaan.


Pengarang :