AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hospital Sungai Buloh jadi rujukan, punca kemasukan kes Covid-19 meningkat

SHAH ALAM, 18 NOV: Peningkatan kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh, Dr Sha’ri adalah disebabkan ia merupakan hospital Covid-19 sepenuhnya dan menjadi rujukan semua pusat perubatan di Selangor dan Lembah Klang.

Pengarah kesihatan negeri berkata ICU hospital itu turut menerima kes pesakit dari hospital lain agar unit terbabit di hospital berkaitan boleh diguna pakai untuk menampung lebih banyak keperluan kes bukan Covid-19.

“Sehingga 8 pagi 18 November, bilangan katil ICU di Hospital Sungai Buloh adalah sebanyak 54 iaitu pada kadar 96 peratus penggunaan,” kata Datuk Indera Dr Sha’ri Ngadiman menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan sebuah akhbar harian Selasa yang memetik seorang pegawai perubatan memberi amaran bahawa gelombang baharu Covid-19 berlaku Disember ini.

Laporan tersebut berdasarkan ciapan di Twitter Pegawai Perubatan di Hospital Sungai Buloh Dr Azfar Kamal yang menjangka berlaku lonjakan kes dalam tempoh dua minggu akan datang.

Dr Sha’ri menjelaskan sebagai langkah persediaan menghadapi situasi peningkatan kes Covid-19 memerlukan kemasukan ke hospital itu, sistem gas oksigen di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) telah ditambah baik.

Kata beliau Hospital Sungai Buloh juga disokong pusat perubatan lain di Lembah Klang sekiranya diperlukan untuk menampung keperluan kemasukan kes Covid-19.

Mengenai kes harian Covid-19, Dr Sha’ri berkata sebanyak 1,300 hingga 1,500 kes dilaporkan di Selangor dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini dengan 1.5 hingga dua peratus daripada jumlah itu adalah bagi kategori tiga, empat dan lima.

“Bagi situasi penggunaan katil hospital di Selangor, bagi kes bukan kritikal untuk pesakit Covid-19 adalah 1,286 dengan kadar penggunaan 92 peratus manakala jumlah terkini katil ICU dan ICU yang diguna semula (termasuk kes Covid-19 dan bukan) adalah sebanyak 203 katil dengan kadar penggunaan 80 peratus.

“Adalah dimaklumkan ICU di hospital hibrid dan bukan Covid-19 juga diisi dengan pesakit bukan wabak. Jumlah pesakit Covid-19 yang disahkan dan disyaki di unit itu adalah 86 kes iaitu 42 peratus kapasiti ICU di Selangor. Selebihnya kes bukan Covid-19,” katanya.

Berikut merupakan status terkini hospital di Selangor:

  • Hospital sepenuhnya Covid-19: Hospital Sungai Buloh
  • Hospital hibrid: Hospital Tengku Ampung Rahimah, Klang; Hospital Selayang, Hospital Serdang dan Hospital Ampang
  • Hospital bukan Covid-19: Hospital Shah Alam dan semua hospital daerah di Selangor (kecuali Jabatan Kecemasan yang kekal status hibrid dan masih menerima kes Covid-19)

Pengarang :