Poster pencarian Ikon Agro Selangor 2021 yang dikongsi di Facebook Ir Izham Hashim
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Ikon Agro Selangor: Lapan usahawan disenarai pendek

SHAH ALAM, 1 NOV: Seramai lapan usahawan agro disenarai pendek sebagai calon Ikon Agro Selangor daripada 19 penyertaan sejak dibuka 19 hingga 24 Oktober lalu.

EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berkata pemilihan kesemua lapan calon itu diteliti dan disemak oleh jawatankuasa penilaian.

“Untuk makluman, kesemua lapan calon senarai pendek ini akan dihubungi oleh pihak jawatankuasa bagi penyediaan video pendek untuk proses seterusnya.

“Proses penggambaran video pendek ini akan dijalankan di lokasi dan premis perniagaan seperti yang telah diisi di google form. Tahniah kepada semua warga tani Negeri Selangor yang sentiasa menyokong inisiatif oleh Kerajaan Negeri Selangor,” katanya menerusi Facebook.

Lapan usahawan agro yang disenarai pendek itu adalah Muhammad Fathullah Janal (penternakan); Sri Sutesh Chelladurai (tanaman); She Cheng Siang (tanaman); Siti Nurul Aisyah Zakariah (akuakultur); Chia Boon San (agro-pelancongan); Cheng Poh Guat (tanaman); Hasbullah (ternakan) dan Affendi Zainuddin (tanaman).

Edisi kedua penganjuran itu menawarkan hadiah wang tunai RM10,000, bantuan kelengkapan pertanian dan sijil kepada ikon terpilih.

Penilaian juri berdasarkan penggunaan teknologi moden dan pengeluaran hasil yang menyumbang 70 peratus markah manakala baki ditentukan menerusi undian video di YouTube.

Ikon Agro Selangor berperanan sebagai duta kecil untuk sektor pertanian di negeri ini serta membimbing usahawan tani yang baharu berkecimpung.

Jawatankuasa pertanian negeri turut memantau Ikon Agro Selangor selama dua tahun bagi memastikan mereka konsisten menjadi penyumbang bekalan makanan dalam tempoh jangka panjang.


Pengarang :