Reaksi seorang pekerja warga asing yang berada di luar rumah susulan pelaksanaan PKPD bermula pada 17 November 2020 di Jalan Abadi 1A Meru Klang. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Imigresen boleh usir warga asing langgar SOP Covid-19

PUTRAJAYA, 18 NOV: Warganegara asing yang melanggar peraturan tatacara operasi piawai (SOP) langkah-langkah pencegahan Covid-19 boleh dikenakan tindakan pembatalan pas dan sebarang kemudahan imigresen yang telah diberikan, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata individu yang didapati bersalah juga akan diusir pulang ke negara asal dan disenaraihitamkan daripada memasuki negara ini semula, seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 8 dan Seksyen 9 Akta Imigresen 1959/63.

“Sehubungan dengan itu, Jabatan Imigresen menasihatkan supaya semua warganegara asing mematuhi arahan dan peraturan semasa agensi-agensi kerajaan berhubung langkah-langkah pencegahan pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kebelakangan ini, tular dalam media sosial isu warganegara asing yang melanggar SOP pencegahan Covid-19, malahan terdapat antara mereka yang sengaja mencabar pihak berkuasa supaya mengambil tindakan ke atas mereka.

Sebelum ini, hangat isu seorang wanita warga asing yang tidak memakai pelitup muka dan naik berang selepas tidak dibenarkan memasuki sebuah premis butik mewah di pusat beli-belah Suria KLCC, bulan lepas.

Terbaharu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berhubung tindakan dua wanita warga asing yang tidak memakai pelitup muka ketika berada di Taman KLCC baru-baru ini.

-BERNAMA


Pengarang :