Dato’ Teng Chang Khim (tengah) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris (kiri) melawat gerai pameran pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 20 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Invest Selangor bantu peniaga F&B tembusi pasaran tempatan, Asean

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Invest Selangor Berhad bersama tiga pasar raya membawa produk usahawan makanan dan minuman (F&B) menembusi pasaran tempatan dan Asia Tenggara.

Pasar raya itu ialah AEON CO (M) Sdn Bhd, Lulu Group Retail Malaysia dan ST Rosyam Mart Sdn Bhd melalui Program Pembeli Pasar Raya 2021, yang julung kali diperkenalkan.

EXCO perdagangan dan perindustrian berkata usaha itu bagi membantu peniaga sektor terbabit menjadi pembekal selain memiliki jaringan dalam pasaran antarabangsa.

“Program ini juga menunjukkan Selangor bersedia memasuki pasaran antarabangsa dengan meluaskan pasaran produk keluaran tempatan,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Sebelum itu, beliau menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama antara Invest Selangor bersama ketiga-tiga pasar raya terbabit di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Chang Khim berkata pasar raya terbabit bertanggungjawab ke atas prestasi pembekal sebaik sahaja kontrak jualan dan pembekalan ditandatangani.

“Pasar raya berkenaan juga dikehendaki memberi maklum balas mengenai prestasi pembekal kepada Invest Selangor secara berkala,” katanya lagi.

Ekspo Antarabangsa Selangor (makanan dan minuman) sebahagian program Sidang Kemuncak Perniagaan (SIBS) 2021 selama empat hari mulai 18 November, yang berlangsung secara hibrid.

Sebanyak RM11 juta diperuntuk meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.

Acara diadakan termasuk Persidangan Perniagaan Asean Selangor, Konvensyen Digital Ekonomi dan Bandar Pintar Selangor serta Ekspo Selangor Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi 2021.


Pengarang :